Welcome To My Life...

Wednesday, June 20, 2012

Aku Teruja


Assalamualaikum.

Wahh, kemain lagi budak ni eksaited terlebih. Ekceli reaksi budak ni mewakili aku apabila England menang 1-0 ke atas tuan rumah bersama, Ukraine. England mara selaku juara Kumpulan D dengan tujuh mata selepas menamatkan cabaran peringkat kumpulan dengan dua kemenangan dan satu seri. Kekalahan mengejut Perancis yang tewas 2-0 kepada Sweden memaksa mereka berpuas hati di tempat kedua.

Dengan berakhirnya saingan Kumpulan D, peringkat kumpulan melabuhkan tirainya untuk memberi laluan kepada pusingan suku akhir. Ini yang membuatkan aku teruja. Keempat-empat perlawanan kini telah diketahui pesaingnya dan semuanya sangat menarik memandangkan yang layak hebat-hebat belaka. Empat kumpulan menghantar juara dan naib juara yang berkualiti tinggi.

Kumpulan A menghantar calon paling lemah. Republik Czech mara selaku pemenang selepas Rusia tumbang mengejut kepada Greece yang muncul naib juara kumpulan. Republik Czech mara bertunjangkan jaringan Petr Jiracek dan Vaclav Pilar. Greece pula mengharapkan keampuhan benteng pertahanan yang kental seperti ketika menjuarai edisi 2004.
 
Pasukan yang melepasi Kumpulan B iaitu kumpulan maut pastinya yang terbaik. Aku meminati permainan menyerang Jerman. Skuad diorang paling mantap dan menggerunkan di setiap posisi. Tak hairan lar diorang bertakhta dengan mata maksimum. Portugal dengan barisan serangan yang agak menggentarkan musuh diketuai Cristiano Ronaldo dan Nani. Naib juara Piala Dunia 2010, Belanda, menjadi mangsa penyingkiran.

Kumpulan C akan diwakili pasukan dengan barisan terbaik dunia ketika ini dan barisan yang masyhur dalam sejarah. Sepanyol mara selaku juara dengan deretan bintang ternama dunia dari posisi penjaga gol sehingga ke posisi penyerang. Pastinya penguasaan bola sangat sinonim dengan diorang. Sepanyol akan diiringi oleh negara yang digoncang skandal mengatur perlawanan, Itali, yang memiliki barisan pertahanan mantap.
 
Pasukan feberet aku England. Jangan tanya kenapa. Aku memang minat England sejak zaman Beckham. England tak pernah menang apa-apa pun. Aku masih jugak sokong England. Hanya Allah yang tahu sebabnya. Eh, aku tak ada skandal dengan model England! Pasukan ni juga mengutamakan permainan defensif. Malang bagi Perancis yang tewas tanpa diduga kepada Sweden dan terpaksa menyerahkan posisi juara kumpulan kepada England. Perancis pastinya terkenal dengan bintang bergemerlapan di bahagian serangan.

Aku teruskan dengan prebiu empat perlawanan suku akhir.

A1 Republik Czech vs B2 Portugal
Czech akan berharap kepada Petr Cech untuk mengekang jentera serangan bermutu tinggi dimiliki Portugal. Pada masa yang sama, diorang akan mengharapkan ketajaman penyudah Petr Jiracek atau Vaclav Pilar berterusan memandangkan kapten, Tomas Rosicky, mungkin tak dapat beraksi. 

Portugal memiliki penjaga gol hebat dalam bentuk Rui Patricio. Antara pemain kunci lain termasuklah Pepe dan Joao Moutinho. Bintang utama? Tak lain dan tak bukan pastinya Nani dan Cristiano Ronaldo. Belanda dihancurkan gandingan dua pemain berkaliber ini. 

Pada pengamatan aku, Czech perlu mengunci pergerakan Ronaldo jika mahu selamat. Kubu pertahanan Czech diketuai Petr Cech akan menjadi faktor kemenangan atau kekalahan. Jika hari itu milik Ronaldo, Czech boleh mengucapkan selamat tinggal Euro 2012. Ramalan aku, Portugal menang 3-1.

B1 Jerman vs A2 Greece
Jerman dibarisi satu generasi bintang terbaik ketika ini. Semua pemain Jerman boleh menjaringkan gol. Penjaga gol, Manuel Neuer, antara yang terbaik di dunia. Mesut Ozil, perancang muda yang berkebolehan sangat mengagumkan. Mario Gomez, peledak yang berbisa di kemuncak prestasi. Lukas Podolski, Bastian Schweinsteiger dan Sami Khedira melengkapkan pasukan pilihan juara.

Greece menjuarai Euro 2004 dengan mengharapkan pertahanan yang ampuh dan jaringan tunggal untuk meneruskan kemaraan. Berdasarkan aksi peringkat kumpulan, falsafah itu tidak berubah untuk menentang salah satu pasukan dengan barisan serangan terhebat. 

Pada pengamatan aku, Jerman akan menghadapi tembok besar yang memerlukan kesabaran dan kerja keras untuk diruntuhkan. Namun Greece beraksi tanpa kapten mereka, Giorgos Karagounis, dan aku yakin masa saja yang akan menentukan bilakah Mario Gomez akan meledak. Ramalan aku, Jerman menang 2-0.

C1 Sepanyol vs D2 Perancis
Barisan tengah Sepanyol tak perlu diperkenalkan lagi. Majoriti pemain skuad Sepanyol adalah wakil kelab Barcelona dan Real Madrid. Xavi, Andres Iniesta, Sergio Busquets, Xabi Alonso, Jesus Navas dan Cesc Fabregas merupakan generasi emas La Furia Roja. Permainan tiki-taka mereka agak membosankan tetapi barisan tengah mereka sangat genius dan kreatif. Pertahanan mereka longgar tetapi Iker Casillas handal di antara dua tiang.

Perancis juga memiliki penjaga gawang terkemuka iaitu Hugo Lloris. Perancis lebih terkenal dengan para pemain serangan yang sangat mengagumkan. Frank Ribery, Samir Nasri dan Karim Benzema adalah trio yang perlu diberi perhatian oleh barisan pertahanan lawan. Kekalahan mengejut kepada Sweden harus membuatkan jurulatih Perancis waspada.

Bagi aku, Sepanyol akan menguasai bola seperti biasa dan membuatkan Perancis tertekan. Jika Perancis tak berhati-hati, Sepanyol lebih kejam daripada Sweden dengan pemain tengah yang genius. Benteng Sepanyol sebenarnya goyah tanpa Carles Puyol tetapi mereka bertahan dengan menggunakan unit penggempur tiki-taka. Ramalan aku, Sepanyol menang 2-1.

D1 England vs C2 Itali
England di bawah Roy Hodgson mengamalkan pendekatan bertahan dan mengharapkan serangan balas. Hodgson mengatur unit defensif ala Chelsea. Kekuatan serangan England terletak di bahu Steven Gerrard, Theo Walcott, Danny Welbeck, Ashley Young dan Wayne Rooney. Dengan John Terry mengetuai kubu pertahanan dan Joe Hart mengawal gawang, pintu gol England sukar dibolosi.

Itali agak seimbang. Diorang ada satu unit defensif yang sangat utuh dan kukuh sehingga dapat mengunci Sepanyol dan seri satu sama. Penjaga gol, Gianluigi Buffon, sudah cukup masyhur untuk diperkenalkan. Dengan usia yang bertambah hadirlah jua kematangan yang tidak mampu dibeli dengan wang. Unit serangan Itali tak kurang hebatnya diketuai jeneral Andrea Pirlo, Antonio di Natale yang pantas, Antonio Cassano dan penyerang kontroversi, Mario Balotelli.

Jika tak salah perkiraan aku, perlawanan ini akan seimbang dengan kedua-dua pasukan berhati-hati. Satu kesilapan saja membawa padah. Joe Hart dan Gianluigi Buffon menjadi faktor penentu buat pasukan masing-masing. Perlawanan yang sengit ini akan berakhir memihak England. Ramalan aku, England menang 1-0.


KONKLUSI
Separuh akhir akan melibatkan Portugal vs Sepanyol dan Jerman vs England. Aku dah tak sabar lagi. Aku sangat teruja untuk melihat kesudahan pusingan suku akhir. Benarkan keempat-empat pasukan ini akan mara? Adakah kejutan akan berlaku? Semuanya akan terjawab dalam masa seminggu. AKU TERUJA!










p palang s : Dramatik..


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif