Assalamualaikum.
Tamat masa tambahan. Perlawanan berakhir tanpa jaringan. Penalti yang menentukan. Debaran memuncak dalam perlawanan. Hanya yang tenang dapat bertahan. Yang kecundang memberi laluan.
Perlawanan bermula hangat bila penyokong England dicemaskan seketika oleh Daniele De Rossi. Rembatan yang cuba dilakukan ketika bola berada di udara sebenarnya tidak mengenai kaki kirinya dengan tepat tetapi melencong cantik untuk menggegar tiang gol ketika Joe Hart telah pun tertewas. England membalas dengan Glen Johnson menerima bola hantaran lintang James Milner di tengah kotak penalti.
Berada di antara dua pertahanan dari jarak enam ela, Johnson hanya perlu menewaskan penjaga gol, Gianluigi Buffon, tetapi Buffon melakukan aksi menyelamat refleks berkelas dunia untuk menafikan gol bagi Johnson. Beberapa minit kemudian, Johnson melakukan hantaran lambung yang melencong cantik untuk ditanduk oleh Wayne Rooney. Sayangnya pertahanan Itali berjaya mencabar cubaan itu.
Itali tidak berdiam diri. Andrea Pirlo melakukan lorongan-memecah-pertahanan yang sering dilakukan Andres Iniesta (Barcelona/Sepanyol) untuk Mario Balotelli. Sama seperti ketika menentang Sepanyol dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan, Balotelli mengambil masa terlalu lama sehingga John Terry berjaya menjejaknya semula.
Balotelli mendapat peluang sekali lagi beberapa minit berselang. Namun rembatan volinya tepat ke arah Joe Hart. Danny Welbeck membalas bagi pihak England apabila kombinasi cemerlang dengan dua rakan dari kelab Manchester United iaitu Ashley Young dan Wayne Rooney mencipta peluang di luar kotak penalti. Rooney melakukan back-heel yang cantik tetapi penyudah Welbeck menghampakan, sedikit melepasi palang gol.
Antonio Cassano pula hampir menjaringkan gol pertama Itali ketika perlawanan menghampiri lima minit terakhir. Rembatannya dari luar kotak penalti ditepis Joe Hart ketika bola itu melayang menuju penjuru atas sebelah kiri Hart. Itali mencipta peluang lagi selang tiga minit kemudian. Pirlo melambungkan bola yang ditanduk Cassano ke laluan Balotelli, enam ela dari pintu gol. Mujur Lescott sempat menyepak bola keluar.
Balotelli masih belum berpuas hati. Seminit kemudian, Balotelli mencuba nasib dari luar kotak penalti. Rembatan derasnya melambung tinggi melewati palang gol. Tiada masa kecederaan memandangkan perlawanan sengit berjalan lancar. Tiada insiden ganas dilakukan oleh kedua-dua pasukan. Diorang bermain dengan sangat profesional. Separuh masa pertama berakhir tanpa sebarang jaringan.
Awal babak kedua bermula, De Rossi sekali lagi terlepas peluang keemasan ketika hanya berdepan Hart. Semua pertahanan England tertewas, bendera ofsaid tidak diangkat, De Rossi tidak menemui jaring. Balotelli gagal menewaskan Hart dari jarak lapan ela seminit berselang dan tendangan susulan Riccardo Montolivo meliar tinggi ketika pintu gol kelihatan terbuka.
Seminit sebelum detik satu jam, Balotelli menggunakan bakatnya untuk melakukan sepakan akrobatik yang sekali lagi melepasi palang gol. Lima minit kemudian, Young mendapat peluang apabila hantaran silang pemain gantian, Theo Walcott, jatuh di hadapannya. Namun sepakan Young dihalang pertahanan untuk mendapat sekadar sepakan sudut.
Beberapa minit sebelum perlawanan memasuki sepuluh minit yang terakhir, England mendapat sepakan percuma berhampiran garisan tengah padang. Steven Gerrard melambungkan bola yang hampir ditanduk Rooney tetapi tidak mengenai kepalanya dan terus ditangkap kemas oleh Buffon. Kedua-dua pasukan berbalas serangan sebelum Rooney hampir memberikan kemenangan kepada England di minit terakhir masa kecederaan. Malangnya sepakan gunting Rooney dari jarak enam ela tersasar tinggi. Masa tambahan diperlukan dalam perlawanan suku akhir yang terakhir ini.
Sepuluh minit masa tambahan masih dikuasai Itali. Balotelli dua kali mencuba dari jarak jauh namun Hart menangkap bola dengan selesa. Situasi terus mendebarkan apabila perlawanan bersambung ke babak kedua masa tambahan. Hanya sedikit masa lagi sebelum penentuan sepakan penalti akan memisahkan slot ke separuh akhir dan tiket pulang ke tanah air. Sebaik pengadil meniupkan wisel penamat, sepakan penalti akan menentukan pemenang.
Sepakan pertama untuk Itali, Balotelli vs Hart. Begitu tepat ke penjuru bawah sebelah kanan gawang walaupun Hart meneka tepat. Itali 1-0 England. Sepakan pertama untuk England, Gerrard vs Buffon. Tempat yang sama seperti Balotelli, juga tekaan yang tekat daripada Buffon. Seperti Balotelli, Gerrard menemui sasaran. Riccardo Montolivo mengambil tugas daripada Balotelli. Cuba mencari sasaran yang sama, Montolivo tersasar sedikit. Rooney menapak dan meneruskan arah yang sama dicari tiga pemain sebelumnya. Buffon tersalah membuat agakan.
Andrea Pirlo melakukan sepakan ketiga yang begitu cantik, perlahan dan tidak dijangka. Ashley Young menyusul dengan sepakan yang terkena palang. Kedudukan kembali terikat 2-2. Antonio Nocerino menuruti jejak Balotelli dan Gerrard, menemui sasaran yang sama. Hart juga tersilap langkah. Ashley Cole menanggung harapan seluruh rakyat England. Dan ternyata bebanan itu terlalu berat untuk dipikul Cole yang memilih untuk melawan arus. Memilih penjuru bawah sebelah kiri, Buffon sudah bersedia untuk risiko tersalah langkah lagi. Kali ini Buffon menangkap kemas, Itali mendahului 3-2.
Sepakan kelima untuk Itali, jaringan akan mengesahkan diorang mara tanpa perlu pemain kelima England melakukan sepakan. Dan Alessandro Diamanti sekali lagi mengikuti jejak Balotelli dan Nocerino. Hart tersilap buat kesekian kalinya. Pemain Itali bersorak keriangan, menang penentuan sepakan penalti 4-2. Pasukan kegemaran aku telah tersingkir. England sememangnya bernasib malang apabila tersingkir buat kali keempat dalam kejohanan utama melalui penentuan sepakan penalti.
Strategi England dari awal telah pun silap. Diorang bermain secara bertahan dengan harapan akan menang penentuan sepakan penalti. Selama ini diorang tak ada penjaga gol yang hebat. Tetapi dengan adanya Hart kali ini, pengurus England (Roy Hodgson) yakin defensif adalah permainan terbaik untuk mengatasi Itali. Itali sememangnya layak. Itali melancarkan lebih 30 serangan bertali arus dengan lebih 20 daripadanya tepat menemui sasaran. Hanya gol yang tidak dapat dijaringkan menyebabkan kedudukan seri tanpa jaringan kekal sehingga tamat masa tambahan.
Tiada pemenang yang lebih layak daripada Itali. England tersingkir kerana kesilapan taktik sendiri. Hanya lebih 10 percubaan dilancarkan ketika Itali melakukan lebih 700 hantaran tepat berbalas hanya kurang 400 daripada England. Itali menguasai lebih 60% permainan. Siapa yang lebih layak? Statistik menunjukkan Itali dan akal logik juga tidak dapat menafikan hak Itali untuk menang. Dan Itali telah layak. Walaupun memiliki Buffon, England pulang kerna kegagalan pemain sendiri.
Young menyepak ke tiang dan Cole mengambil gilirannya dengan sepakan lemah dan terlalu mudah dibaca. Kini diorang harus meratapi kesilapan dan belajar daripada kegagalan ini. Dramatik dan mendebarkan. Itulah kisah perlawanan dengan skrip ulangan. England tersingkir lagi. Itali melengkapkan jadual pusingan separuh akhir dengan mengatur pertemuan menentang pilihan hangat, Jerman. Jika Itali menguasai bola seperti hari ini, diorang berpeluang cerah. Tetapi menentang Jerman, Itali dalam bahaya.
p palang s : Oh my England....
No comments:
Post a Comment