Welcome To My Life...

Saturday, June 23, 2012

Terlalu Hebat


Assalamualaikum.

Tahniah diucapkan kepada para peminat setia Die Mannschaft di Malaysia amnya dan seantero dunia khususnya. Malam tadi, Jerman memberi amaran kepada para pencabar diorang terutama penyandang juara dunia dan Eropah iaitu Sepanyol bahawa Jerman tidak rela lagi membiarkan negara lain merampas trofi paling berprestij di Eropah daripada genggaman diorang. 

Greece memasuki perlawanan dengan reputasi pembunuh gergasi (giant killer). Diorang telah mengejutkan pilihan hangat, Rusia, lalu menyingkirkan negara kuasa besar dunia itu. Tidak perlu diingatkan lagi Greece adalah juara Euro edisi 2004 ketika mereka turut melakukan kejutan. Negara yang sangat terkenal dengan corak permainan bertahan yang begitu liat untuk ditembusi. 

Namun malam tadi, sejarah hanyalah sejarah. Satu lagi sejarah terlakar kemas dalam lembaran gemilang Jerman. Sehebat kubu Greece akhirnya hancur roboh diranapkan generasi menyerang paling mengagumkan era ini. Diorang mungkin tak mampu menguasai bola sehebat Sepanyol. Tetapi maaf buat para penyokong Sepanyol, barisan serangan Jerman jauh lebih menggerunkan. Dinamik, agresif dan tanpa henti. 

Jerman memulakan perlawanan dari sepak mula dengan serangan bertali arus menggempur tembok utuh Greece yang sangat terkenal. Bola dilintangkan, pemain bertukar hantaran, rembatan dilancarkan. Namun setiap gerakan ofensif menemui jalan buntu. Penjaga gol Greece, Michalis Sifakis, menyelamatkan beberapa percubaan bahaya Jerman walaupun aksinya tidak begitu meyakinkan. Melihatkan situasi awal permainan, Jerman hanya menanti masa ketahanan Greece berakhir.

Tetapi itu tidak berlaku sehingga tinggal lebih kurang lima minit untuk separuh masa pertama berakhir. Kesukaran memecah pertahanan Greece memaksa percubaan jarak jauh dilakukan dan ianya membuahkan hasil. Pertahanan legenda, Philipp Lahm, menghiburkan penyokong negaranya apabila melakukan rembatan menarik dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan Sifakis.

Greece tidak mengalah. Diorang tetap cuba menyerang dan akhirnya usaha itu berbalas. Satu serangan balas pantas di awal babak kedua menyaksikan Dimitris Salpingidis melakukan larian bersemangat di sayap kanan dan melintangkan bola untuk ditolak masuk Georgios Samaras walaupun penjaga gol Jerman, Manuel Neuer, cuba menghalang. Greece sememangnya pakar dalam melakukan sesuatu di luar jangkaan. Diorang boleh menjaringkan gol secara tiba-tiba.

Pemain Greece semakin bersemangat dengan gol penyamaan tersebut. Pemain Jerman memerlukan satu jaringan menarik untuk membunuh keazaman pemain Greece. Dan sekali lagi diorang berjaya melakukannya. Terima kasih kepada pemain tengah kelab Real Madrid, Sami Khedira. Beliau menyambut hantaran lintang dari sayap kanan dengan satu teknik rembatan sukar yang begitu deras untuk ditepis Sifakis. Bola yang tinggi di udara ditampan masuk dengan begitu mudah sekali. 

Perjuangan Greece semakin lemah. Berpunca daripada satu sepakan percuma dari sayap kanan, sekali lagi gawang Greece bocor. Sifakis melakukan percubaan sia-sia untuk keluar dari gawangnya dan cuba menangkap bola di udara. Malang sekali, Miroslav Klose berada di hadapannya dan menanduk masuk ke pintu gol yang terbuka. Seorang penyerang legenda, satu gol yang memberi ruang untuk Jerman bernafas dan semakin selesa menuju pusingan separuh akhir.

Kegigihan Greece hancur lebur apabila Jerman meledak gol keempat. Apabila rembatan Klose ditepis Sifakis, Marco Reus menyambar dengan satu lagi rembatan menarik. Teknik yang berkualiti menyaksikan first-timer itu mencium tiang atas dan terus menyentuh jaring. Pemain Greece terkedu melihat amukan barisan serangan Jerman. Benteng pertahanan yang begitu masyhur telah runtuh. 

Pemain Greece masih berusaha melakukan keajaiban yang begitu mustahil dalam sepuluh minit terakhir. Tiga gol diperlukan menentang salah satu pilihan utama kejohanan. Keghairahan Jerman menyerang ada harganya. Barisan belakang mereka terdedah dan sepakan penalti dihadiahkan apabila bola terkena tangan Jerome Boateng. Dimitris Salpingidis menjaringkan gol sagu hati.

Perlawanan berkesudahan Jerman menang 4-2. Aksi serangan yang menghiburkan. Pada akhirnya, kualiti yang dimiliki Jerman tidak dapat dijawab oleh Greece. Satu tandukan dan tiga rembatan kencang yang sangat teknikal merobohkan keutuhan kubu Greece. Diorang terpaksa mengakui Jerman terlalu hebat untuk ditentang.

Mampukah Jerman ditewaskan selepas mencatat kemenangan keempat berturut-turut? Mampukah Sepanyol mempertahankan kejuaraan yang disandang? Siapakah juara yang paling layak? Malam ini Sepanyol akan turun menentang Perancis. Selepas malam ini, segalanya akan lebih jelas.










p peluk s : Suka gaya Jerman..
 

No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif