Welcome To My Life...

Friday, June 29, 2012

Jerman Tersungkur

Assalamualaikum.

Musnah sudah mimpi indah Jerman sepanjang kejohanan Euro 2012. Itali menyebabkan pilihan utama itu kembali berpijak di bumi nyata dan menghantar Die Mannschaft pulang ke tanah air. Gli Azzuri mara selepas melakukan kejutan.

Malam yang diharapkan menjadi kenangan Jerman sudah menjadi milik Itali dan penyerang sensasinya, Mario Balotelli. Dua gol daripada penyerang yang sering menjadi mangsa cemuhan penyokong yang melaungkan ejekan berbaur perkauman. Balotelli membalas kritikan yang dilemparkan selepas aksi buruk pada awal kejohanan. Kini Balotelli bangkit pada saat yang tepat untuk menghantar Itali ke final kejohanan utama pertama selepas Piala Dunia 2006.

Mario a.k.a King Kong

Jerman memasuki perlawanan selaku pilihan selepas mencatat rekod dunia 15 kemenangan antarabangsa berturut-turut termasuk empat dalam Euro 2012. Namun Itali adalah igauan buat Jerman kerana Jerman tidak pernah menang menentang lawan diorang semalam dalam tujuh percubaan. Mungkin gemuruh rekod silam menggugat keyakinan Jerman.

Jerman menguasai aksi awal permainan. Dua kali gawang Itali diancam bahaya. Menerusi satu sepakan sudut, percubaan Mats Hummels melepasi Gianluigi Buffon tetapi diselamatkan Andrea Pirlo di atas garisan gol. Satu lagi detik mencemaskan berlaku apabila Buffon menepis hantaran lintang Jerome Boateng ke arah Andrea Barzagli yang hampir menjaringkan gol sendiri. 

Selepas itu, Itali mula mencabar dan mengimbangi penguasaan Jerman. Riccardo Montolivo melakukan percubaan jarak jauh tetapi Manuel Neuer menangkap selesa. Kemudian Antonio Cassano juga mencuba nasib. Sekali lagi tiada masalah bagi Neuer. Toni Kroos mengambil giliran bagi Jerman apabila menguji Buffon juga dari jarak jauh. Rembatan kencangnya tepat ke arah Buffon yang berjaya menepis keluar. Mesut Ozil juga mahu mencuba nasib dari luar kotak penalti tetapi sepakannya lemah dan mudah ditangkap Buffon. 

Itali membalas dan berjaya mendapatkan gol pendahuluan. Andrea Pirlo yang cemerlang sepanjang kejohanan melakukan hantaran bijak dari tengah padang kepada Giorgio Chiellini di sayap kiri. Chiellini menolak kepada Antonio Cassano yang berjaya memperdaya Mats Hummels untuk melakukan hantaran silang menarik melepasi Holger Badstuber. Menanti di belakang Badstuber adalah penyerang berpotensi tinggi, Balotelli yang melihat gawang terbuka luas. Tandukan tepat Balotelli memukau Neuer. 

Sami Khedira tidak mahu ketinggalan, cuba untuk mengulangi gol cantiknya menentang Greece. Khedira mendada bola dan melepaskan tendangan padu. Sepakannya cuba mencari penjuru atas sebelah kanan gawang tetapi Buffon melayangkan badannya untuk menyelamatkan gawang Itali. Sebelum separuh masa pertama ditamatkan, Itali mendapat gol kedua. Berpunca daripada sepakan sudut Jerman, Itali melancarkan serangan balas pantas apabila hantaran jauh Montolivo berjaya menemui sasarannya, Balotelli yang berada dalam posisi onsaid selepas perangkap ofsaid Jerman digagalkan kapten, Philipp Lahm.

Balotelli menyambut hantaran dengan kemas, berlari deras beberapa langkah, melihat sasarannya dan melepaskan sepakan tak tertahankan walaupun Lahm cuba menghadang. Neuer hanya mampu melihat dan mengangkat tangan kiri apabila bola menuju tanpa dapat dihentikan ke arah penjuru atas sebelah kiri gawang. Neuer terkesima melihat aksi hebat penyerang prolifik, Balotelli. Tepukan tangannya menandakan penghargaan menentang peledak unggul.

Aksi meraikan gol akan diingati buat masa yang lama oleh penonton yang menyaksikan keangkuhan Balotelli berterusan. Bakatnya tidak dapat dinafikan. Penyudahnya tajam dan kejam. Balotelli dihina dalam karikatur satu media Itali yang menggambarkannya sebagai King Kong dan turut tidak diiktiraf sebagai warganegara Itali. Reaksi Balotelli pasti terpahat lama dalam memori para penyokong. Sebaik melihat rembatannya menerjah jaring, Balotelli menanggalkan bajunya dan terus berdiri tegak, menunjukkan muka bengis dan badannya yang sasa. Para pemain Itali berlari untuk memeluk pemain yang memiliki ego tinggi itu. Balotelli menerima kad kuning kerana menanggalkan baju untuk meraikan gol. Dia tahu dia akan menerima hukuman tersebut tapi ianya berbaloi selepas mendiamkan semua pengkritiknya.

Babak pertama berakhir tamat dengan Balotelli meletakkan Itali mendahului selesa 2-0. Joachim Low, jurulatih Jerman, membuat pertukaran drastik selepas masa rehat. Low menggantikan Mario Gomez dan Lukas Podolski dengan Miroslav Klose dan Marco Reus. Tindak balas Reus pantas. Sentuhan awal Reus termasuk percubaan tepat menguji Buffon. Kemudian Klose pula terlibat dalam gerakan berbahaya. Klose menolak bola kepada Lahm dalam kotak penalti. Dengan ruang yang banyak, Lahm melepaskan sepakan yang meliar tinggi. Reus terus mempamerkan bakatnya menerusi sepakan percuma. Sepakannya hampir masuk di bawah palang jika Buffon tidak menepis bola melepasi palang.

Selepas penguasaan awal Jerman, Itali pula mengambil alih. Dalam arus serangan Jerman yang cuba mengurangkan defisit, benteng pertahanan diorang terdedah dan dimanfaatkan jentera serangan Itali. Claudio Marchisio dua kali hampir memusnahkan harapan Jerman. Sedikit luar dari kotak penalti, Marchisio hampir mengulangi kualiti penyudah Balotelli tetapi rembatannya sipi ke luar tiang dari posisi yang hampir sama Balotelli meledak. Seterusnya Marchisio mendapat satu lagi peluang selepas mengatasi pertahanan Jerman dalam kotak penalti melalui satu lagi serangan balas. Ketika rakan sepasukannya menanti di seberang untuk tap in, Marchisio lebih kepada mencuba nasib daripada melakukan hantaran silang. Sikap pentingkan diri sendiri Marchisio mengecewakan rakan sepasukannya. 

Drama berterusan. Balotelli mengalami kekejangan otot dan digantikan Antonio Di Natale. Di Natale hampir menamatkan debaran apabila berada dalam situasi sama dengan Marchisio. Seperti rakan sepasukannya, Di Natale juga gagal meranapkan cabaran Jerman. Empat minit masa kecederaan diberikan. Penyudah dramatik hampir berlaku apabila serangan bertali arus Jerman akhirnya berhasil. Bola terkena tangan Federico Balzaretti dalam kotak penalti dan pengadil tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti. Ozil mara, memilih sebelah kiri gawang dengan ketinggian yang cukup untuk menewaskan Buffon walaupun penjaga gawang Itali meneka tepat.

Itali terpaksa bertahan dalam seminit setengah yang sangat mendebarkan sebelum wisel akhir melegakan seluruh kem Itali yang bersorak riang. Jerman hampir melakukan kebangkitan yang akan dikenang. Malangnya, kebangkitan Jerman sudah terlalu lewat. Jerman tewas sekali lagi dalam perlawanan kompetitif menentang Itali. Kehampaan Low berterusan apabila Jerman tewas buat kali keempat dalam separuh akhir kejohanan utama. Seperti edisi Piala Dunia 2006, Itali adalah pemusnah impian Jerman.

Statistik menunjukkan penguasaan Jerman yang mendominasi 54% permainan. Jerman memiliki lebih percubaan gol dan percubaan tepat. Malah 14 sepakan sudut Jerman langsung tidak berbalas. Statistik tidak dikira dalam menentukan pemenang. Balotelli memanfaatkan peluang dan Itali lebih layak keluar sebagai pemenang untuk mengulangi perlawanan pembukaan peringkat kumpulan di mana diorang terikat dengan Sepanyol.

Ternyata adunan pengalaman dan bakat muda Itali berjaya mengatasi kematangan barisan muda Jerman. Mimpi ngeri Jerman berterusan. Barisan muda ini terpaksa menanti dua tahun lagi untuk kejohanan besar seterusnya di Brazil. Buat masa ini, Jerman kekurangan sedikit ramuan untuk mara ke final. Pengalaman Buffon dan Pirlo serta kehandalan Balotelli yang memuncak pada masanya meleburkan harapan tinggi rakyat Jerman.

Die Mannschaft tersungkur lagi. Tahniah Gli Azzuri.











p palang s : Seronok tengok Mario Balotelli...



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif