Welcome To My Life...

Tuesday, June 26, 2012

Preview Semi Final Euro 2012

Assalamualaikum.

Pusingan separuh akhir akan bermula malam esok di Ukraine sebelum Poland menjadi venue perlawanan separuh akhir kedua. Semi final kali ini mempertemukan wakil dua kumpulan sahaja. Juara dan naib juara kumpulan B dan C akan berentap ketika juara dan naib juara kumpulan A dan D tersungkur di halangan sebelumnya. 

Sukar untuk membezakan pasukan mana yang lebih layak ke perlawanan akhir 1 Julai nanti kerana kesemua empat pasukan pastinya memiliki ramuan hebat untuk mara sejauh ini. Juara kumpulan B, Jerman, akan menentang naib juara kumpulan C, Itali. Manakala juara kumpulan C, Sepanyol, akan beradu tenaga dengan naib juara kumpulan B, Portugal.

Inilah ramalan pra-perlawanan daripada Lelaki Dari Marikh.


PORTUGAL vs SEPANYOL

Donetsk akan menyaksikan pertembungan berprofil tinggi adiwira-adiwira bola sepak berpangkalan dalam liga terbaik dunia. La Liga adalah taman permainan diorang. Cristiano Ronaldo, Pepe dan Fabio Coentrao sudah tidak asing lagi bagi peminat Real Madrid ketika sebahagian besar pemain yang membentuk skuad Sepanyol adalah para pemain dua kelab utama La Liga saja, Real Marid dan Barcelona.

Ramai mendefinisikan pasukan Portugal sebagai one-man team. Walaupun Cristiano Ronaldo adalah tonggak utama yang mengetuai barisan Portugal, bakat lain yang ada tidak kurang hebatnya. Penjaga gol, Rui Patricio boleh diharapkan. Pepe dan Bruno Alves mengukuhkan pertahanan. Miguel Veloso dan Joao Moutinho menggerakkan jentera tengah. Nani juga menggerunkan di bahagian serangan. 

Juara bertahan, Sepanyol terlalu hebat di semua posisi. Penjaga gol terbaik dunia, Iker Casillas di antara dua tiang. Barisan tengah diterajui dua perancang terhandal generasi ini, Xavi dan Andres Iniesta. Sepanyol terkenal dengan falsafah permainan tiki-taka, sejenis gaya menyimpan bola dengan hantaran pendek. Sukar untuk bola dirampas. Tetapi barisan pertahanan diorang agak rapuh tanpa Carles Puyol yang cedera.

Kekuatan Portugal terletak pada semangat sepasukan dan ketajaman Cristiano Ronaldo, pencabar Lionel Messi untuk memegang status pemain terhebat era ini. Tetapi kelemahan diorang juga berpunca daripada kebergantungan kepada Cristiano Ronaldo. Titik utama serangan Portugal adalah Ronaldo dan jika kapten diorang gagal menyerlah, Portugal sukar mencari jaringan. Berita baiknya, Ronaldo berada pada tahap prestasi terbaik ketika ini.

Kekuatan Sepanyol pula adalah penguasaan bola yang sangat menjengkelkan. Mengapa? Diorang sangat dominan dan menjadikan perlawanan sangat membosankan. Portugal dijangka tidak dapat mencabar daripada segi menyimpan bola. Tetapi kerapuhan benteng dek kerana kehilangan tonggak utama iaitu Puyol akan menjadi titik kelemahan utama yang dapat dimanfaatkan. Portugal terlalu bahaya melancarkan serangan balas pantas dengan adanya Ronaldo dan Nani.

Kunci perlawanan ini adalah pertembungan Cristiano Ronaldo vs Alvaro Arbeloa, Nani vs Jordi Alba dan persaingan jentera tengah. Dengan Portugal mengharapkan serangan balas pantas, Arbeloa perlu mengekang rakan sepasukannya dari kelab Real Madrid ketika permusuhan Nani dan Alba adalah pertemuan dua liga utama dunia. Nani dari kelab Manchester United (Liga Perdana Inggeris) menentang Alba dari kelab Barcelona (La Liga). 

Perlawanan ini bagi Sepanyol adalah mengenai Iker Casillas, Xavi, Andres Iniesta dan Fernando Torres. Portugal pula mengharapkan Rui Patricio, Joao Moutinho, Cristiano Ronaldo dan Nani. Jika kuartet utama negara masing-masing efektif, barisan lawan akan pulang awal.

Ramalan 
Portugal 2-1 Sepanyol


JERMAN vs ITALI

Sehari selepas calon juara pertama layak ke final, Warsaw akan menjadi saksi pertemuan dua seteru utama bola sepak dunia yang merajai dunia bersilih ganti. Skuad muda Die Mannschaft akan menentang skuad berpengalaman Gli Azzuri. Ini adalah persaingan experience vs energy (pengalaman versus tenaga). Mampukah kepantasan dan keazaman wira-wira muda Jerman menentang ketenangan dan pengetahuan orang lama a.k.a kuda tua a.k.a senior diorang dalam skuad Itali?

Pada 2008, Jerman ke semi final Euro. Itu adalah kali terakhir generasi sebelumnya mewakili negara. Piala Dunia 2010 menyaksikan kebangkitan kuasa utama bola sepak dunia satu ketika dahulu apabila generasi muda mara ke separuh akhir. Generasi itu sudah matang kali ini. Adunan resepi rahsia Jerman begitu meyakinkan. Manuel Neuer menjaga gawang. Philipp Lahm memimpin pertahanan. Bastian Schweinsteiger jeneral di tengah padang. Mario Gomez penyerang disegani. Ditambah kehadiran watak-watak utama seperti Mesut Ozil, Sami Khedira, Thomas Muller, Miroslav Klose dan Lukas Podolski, Jerman serba lengkap.

Itali dibarisi majoriti pemain berpangkalan di liga utama negara sendiri. Kebanyakan tonggak adalah wakil dari kelab juara Serie A, Juventus. Gianluigi Buffon adalah salah sorang penjaga gol terbaik dunia dan masih lagi utuh mempertahankan gawang. Danielle De Rossi kental di benteng walaupun bermain di luar posisi lazimnnya. Andrea Pirlo adalah antara perancang tersohor dunia yang bukan berasal dari negara Sepanyol. Mario Balotelli dan Antonio Cassano melengkapkan jentera serangan Itali yang lebih defensif. Tidak dilupakan Antonio di Natale, penjaring gol cantik menentang Sepanyol.

Kekuatan Jerman adalah tenaga dan kualiti yang dimiliki barisan serangan. Skuad Jerman adalah skuad termuda dalam Euro 2012. Mesut Ozil dan Sami Khedira merupakan tonggak barisan tengah kelab Real Madrid. Bastian Schweinsteiger dan Thomas Muller pula ialah tunjang kekuatan Bayern Munich. Kelemahan Jerman adalah keghairahan menyerang yang akan mendedahkan barisan belakang kepada ancaman bahaya. Namun dengan adanya Philipp Lahm dan Manuel Neuer, risiko dikejutkan masih rendah.

Kekuatan Itali pula adalah unit defensif berkualiti tinggi. Buffon yang menjaga gol adalah tonggak barisan invicible Juventus yang tidak kalah sepanjang saingan musim lalu. De Rossi adalah pemain tengah bertahan tetapi bermain di barisan pertahanan seperti beliau adalah pertahanan sejak lahir. Genius veteran, Andrea Pirlo, pula adalah figura menakutkan di tengah padang. Hantaran pintarnya, penguasaan bolanya dan ketenangannya (seperti ketika menjaringkan sepakan penalti cantik menentang England dalam perlawanan suku akhir) sukar ditandingi. Namun seperti dibuktikan Croatia, kubu Itali tidak kebal. Dan itulah berita baik bagi jentera penggempur Jerman.

Kunci perlawanan ini adalah serangan vs defensif. Berbeza dengan lumrah bola sepak, serangan Jerman dan pertahanan Itali adalah yang terbaik di dunia. Kelicikan Mesut Ozil, kelincahan Schweinsteiger, ketajaman Mario Gomez dan sengat berbisa veteran Miroslav Klose mewakili Jerman. Ketangkasan Gianluigi Buffon, ketahanan Danielle De Rossi, kepintaran Andrea Pirlo dan kekuatan defensif mewakili Itali.

Penentu perlawanan adalah dua perancang berbeza generasi. Perancang muda Jerman, Mesut Ozil yang sangat kreatif berdepan seteru setanding yang jauh lebih senior. Andrea Pirlo telah merasai kemanisan bergelar juara dunia dan bakal berdepan anak muda berjiwa besar yang cuba menyaingi kemahirannya. Tenaga atau pengalaman? Pirlo akan mengajar Ozil cara bermain bola sepak atau Ozil membuktikan tenaga dan pengalamannya mengatasi Pirlo? Jangan dilupakan kelibat penyerang bermasalah, Mario Balotelli. Jika Balotelli menggegar, Jerman akan tergugat. Namun dengan adanya abang Mario beliau iaitu Mario Gomez, ketajamannya akan menggoncang kubu utuh Itali.

Ramalan 
Jerman 2-1 Itali


Pemain terbaik dunia, penguasaan bola dominan, jentera serangan bermutu tinggi dan benteng pertahanan yang kukuh. Rencah unik semi final Euro 2012. Dua perlawanan yang pastinya sangat menghiburkan. Jika hiburan yang dicari, pasti tidak kurang dalam dua perlawanan ini. Mampukah Cristiano Ronaldo menentang tiki-taka? Mampukah Ozil dan rakan-rakan meranapkan kubu Gli Azzuri? Semuanya akan terjawab pada malam 27 Jun di Ukraine (awal pagi 28 Jun waktu Malaysia) dan malam 28 Jun di Poland (awal pagi 29 Jun waktu Malaysia). Nantikanlah. ^_^











 p peluk s : Tak sabarnya...


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif