Welcome To My Life...

Monday, December 30, 2013

2013 Football Review

Assalamualaikum.

Selepas membaca artikel ini, aku telah memilih lima momen paling penting dalam sukan bola sepak untuk tahun 2013. Ada tiga belas momen yang menjelaskan tahun 2013 termasuk kejayaan Guangzhou Evergrande menakluk benua Asia dan kejayaan Nigeria memenangi Piala Negara-Negara Afrika.

Namun aku hanya mahu menyenaraikan lima peristiwa yang aku kira menggegarkan arena bola sepak sepanjang tahun ini. Cuba teka momen yang aku pilih.

Jeng jeng jeng. Jeng jeng. Jeng!

5. CR7 benam Sweden


Play-off kelayakan Piala Dunia 2014 zon Eropah. Portugal menentang Sweden secara timbal balas. Cristiano Ronaldo membuktikan statusnya sebagai antara pemain terbaik generasi ini dengan menjaringkan kesemua empat gol negaranya. Zlatan Ibrahimovic gagal ke Piala Dunia. CR7 4-2 Ibrahimovic.

4. Gareth Bale paling bernilai


Pemain yang diburu kelab-kelab ternama dunia akhirnya memilih Real Madrid untuk memakai jersi nombor 11. Mungkin Bale bukan pemain yang paling bernilai di dunia. Tetapi Bale memegang status 'pemain termahal' ketika ini selepas Real memecahkan rekod perpindahan yang dibayar untuk membawa Cristiano Ronaldo sebelum ini. Dua pemain termahal dalam satu kelab yang sama.

3. Bayern Munich menakluk Eropah


Selepas sekian lama mencuba termasuk kekalahan kepada Chelsea dalam final musim lepas, Bayern Munich akhirnya menakluk benua Eropah. Mereka melakukannya dengan mengatasi gergasi yang sering mendominasi sebelum ini, Barcelona dengan agregat 7-0 dalam laluan ke final. Bayern melengkapkan musim lalu dengan memenangi treble. Ketika entri ini ditulis, Bayern Munich sudah menakluk dunia.

2. Brazil juara antara benua


Brazil memberi amaran kepada semua pasukan pilihan dalam Piala Dunia tahun depan. Tuan rumah jangan dipandang rendah. Brazil menjuarai Piala Konfederasi dengan mengalahkan Sepanyol 3-0 dalam perlawanan akhir. Pemain yang telah berpindah ke Barcelona, Neymar, mewarnai kejohanan dengan beberapa gol menarik dan menjadi tunjang kejayaan Brazil.

1. Tiada lagi Alex Ferguson


Selepas 27 tahun memimpin Manchester United sebagai pengurus, Alex Ferguson mengumumkan persaraan sebaik saja berjaya memenangi liga buat kali ke-13. Alex Ferguson melengkapkan kariernya selepas perlawanan ke-1500 bersama United. Terlalu ramai legenda yang dilahirkan Ferguson. Telah ramai pemainnya yang menjadi pengurus dan kalah apabila pasukan yang dipimpin bertemu United. 

Senarai pengurus yang ditewaskan Ferguson sudah boleh dibukukan menjadi ensiklopedia. Tanpa ragu lagi, Ferguson ialah salah seorang pengurus terbaik sepanjang zaman.



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif