Welcome To My Life...

Wednesday, December 11, 2013

United Mara

Assalamualaikum.

Entri bola sepak lagi.

Pasukan kegemaran aku melangkah ke pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah. United kini menanti majlis undian pada 16 Disember selepas memenangi Kumpulan A awal pagi tadi.

Manchester United 1-0 Shakhtar Donetsk

Jaringan tunggal Phil Jones pada babak kedua sudah cukup memastikan skuad bimbingan David Moyes mengelak pasukan-pasukan gergasi yang menjuarai kumpulan-kumpulan lain. Moyes memilih formasi 4-5-1 untuk cuba memenangi perlawanan di tempat sendiri. David De Gea mengawal gawang di depan kubu pertahanan dibina oleh Rafael - Rio Ferdinand - Jonny Evans - Alex Buttner. Phil Jones dan Ryan Giggs membentuk gandingan tengah bertahan untuk menyokong tiga pemain tengah menyerang, Adnan Januzaj - Shinji Kagawa - Ashley Young. Wayne Rooney menjadi penyerang tunggal.
 
Aku suka percaturan Moyes. Januzaj memulakan perlawanan di sayap kanan. Kagawa berada di posisi kegemarannya di belakang penyerang. Rooney pula menjadi ayam tambatan, memakai lilitan tangan selaku kapten. Bagi aku, hanya pemilihan Young sukar diterima kerana 'penerjun' ini masih belum menunjukkan sebab mengapa dia layak beraksi.
 
Beberapa peluang keemasan yang dilepaskan Young sepanjang babak pertama menambah lagi kegeraman aku terhadapnya. Lob yang cuba dilakukan untuk memerangkap penjaga gol sipi melepasi sasaran. Jika Robin Van Persie melakukannya, aku kira bola sudah berada di belakang garisan gol. Sangat mengecewakan. Young juga merembat liar beberapa minit selepas itu, apabila Rooney melakukan hantaran cantik menembusi pertahanan.

Bagi Moyes, kemenangan ini sangat penting untuk mengembalikan keyakinan peminat terhadapnya. Pada pandangan aku, persembahan anak buah Moyes dalam Liga Juara-Juara Eropah boleh dipuji. Mereka bukan saja layak ke pusingan seterusnya, malah turut menjadi pemenang kumpulan. United juga tidak mengalami sebarang kekalahan dan turut menang semua perlawanan di tempat sendiri, kali pertama sejak musim 2007/2008. 

Moyes boleh fokus kepada liga untuk merebut sekurang-kurangnya slot ke Liga Juara-Juara Eropah. Moyes mungkin boleh melupakan usaha untuk mempertahankan kejuaraan liga. Tiga belas mata di belakang Arsenal, peluang untuk muncul juara sangat tipis. Moyes mungkin boleh berharap tetapi dia memerlukan keajaiban untuk melakukan kebangkitan luar biasa itu. 

Musim perpindahan Januari kian hampir. Moyes perlu memikirkan sasarannya kerana dia sudah pasti tidak mahu gagal lagi seperti pada musim panas lepas. Inilah peluang Moyes untuk membina kembali pasukannya yang tewas dua perlawanan liga berturut-turut di Old Trafford kepada Everton dan Newcastle. Masa untuk bangkit dan melawan.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif