Welcome To My Life...

Saturday, December 7, 2013

WC2014: Pasukan Yang Layak



 Majlis undian telah sempurna semalam. 32 pasukan telah dibahagikan kepada 8 kumpulan. Para jurulatih setiap pasukan sudah boleh mengatur strategi sebelum Piala Dunia musim panas tahun depan. Siri analisis Piala Dunia 2014 ini aku akan mulakan dengan senarai pasukan yang layak.

Empat (atau lima) slot diberikan kepada konfederasi AFC (Asia). Lima juara dan lima naib juara kumpulan pusingan ketiga dibahagikan kepada dua kumpulan untuk pusingan keempat dan terakhir kelayakan zon Asia. Iran (juara) dan Korea Selatan (kedua) layak secara automatik dari Kumpulan A. Jepun (juara) dan Australia (kedua) juga layak automatik dari Kumpulan B. 

Pasukan di tempat ketiga kedua-dua kumpulan (Uzbekistan dan Jordan) merebut tempat kelima untuk berentap dalam pertembungan antara benua dengan Amerika Selatan. Jordan layak dengan menewaskan Uzbekistan 9-8 dalam penentuan sepakan penalti. Mereka seri 2-2 selepas dua perlawanan timbal balas.

Lima slot diberikan kepada konfederasi CAF (Afrika). 10 juara kumpulan dari pusingan kedua kelayakan bertemu dalam perlawanan timbal balas secara kalah mati untuk pusingan ketiga dan terakhir. Ivory Coast, Nigeria, Cameroon, Ghana, dan Algeria menewaskan lawan masing-masing untuk mewakili benua Afrika. 

Manakala konfederasi CONCACAF (Amerika Utara) mendapat tiga (atau empat) slot. Tiga juara dan tiga naib juara kumpulan dari pusingan ketiga kelayakan ditempatkan dalam satu kumpulan untuk pusingan keempat dan terakhir. Amerika Syarikat (juara), Costa Rica (kedua), dan Honduras (ketiga) layak secara automatik.

Pasukan di tangga keempat, Mexico, terpaksa mengharungi play-off antara benua dengan juara zon Oceania. Selepas perlawanan timbal balas, Mexico menjadi pasukan keempat dari benua Amerika Utara yang layak apabila mengatasi New Zealand dengan agregat 9-3.

Konfederasi CONMEBOL (Amerika Selatan) diberikan empat (atau lima) slot. Brazil (tuan rumah) layak secara automatik membuatkan wakil Amerika Selatan sama ada lima (atau enam). Pusingan kelayakan zon Amerika Selatan berlangsung secara round robin melibatkan sembilan pasukan. Argentina (juara), Colombia (kedua), Chile (ketiga) dan Ecuador (keempat) layak secara automatik.

Pasukan di tangga kelima, Uruguay, terpaksa berdepan play-off antara benua dengan pasukan tempat kelima dari zon Asia. Dan selepas perlawanan timbal balas, Uruguay mara. Mereka menewaskan Jordan dengan agregat 5-0.

Tiada wakil dari konfederasi OFC (Oceania) apabila juara mereka, New Zealand dibelasah 9-3 dalam play-off dengan Mexico (CONCACAF). OFC hanya ditawarkan satu (atau kosong) slot.

Konfederasi UEFA (Eropah) mendapat slot terbanyak dengan 13 tempat dari 32 pasukan yang bertanding. Sembilan juara kumpulan akan layak automatik. Belgium, Itali, Jerman, Belanda, Switzerland, Rusia, Bosnia-Herzegovina, England, dan Sepanyol layak selaku juara kumpulan masing-masing. Lapan pasukan tempat kedua terbaik diundi untuk bersaing dalam pusingan play-off secara timbal balas. Greece, Croatia, Portugal, dan Perancis melengkapkan senarai pasukan yang layak.

Empat wakil Asia, lima wakil Afrika, enam wakil Amerika Selatan, empat wakil Amerika Utara, dan 13 wakil Eropah akan merebut trofi paling berprestij dalam sukan bola sepak. Lima konfederasi, hanya satu juara akan menjulang trofi.

Analisis seterusnya akan menyusul.

No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif