Welcome To My Life...

Thursday, December 19, 2013

Menang Kalah

Assalamualaikum.

Orang kata, "menang kalah adat permainan". Betullah tu. Hari ni dua pasukan bola sepak yang aku sayangi beraksi. Satu menang, dan satu kalah. Kegembiraan aku awal pagi tadi berganti kecewa malam ni.


MENANG

Manchester United mengalahkan Stoke City 2-0 di tempat lawan dalam pusingan suku akhir Piala Liga. Memang puas hati. Tak sia-sia aku bangun untuk menonton. Walaupun Wayne Rooney tak beraksi, United tetap unggul. 

Perlawanan malam tadi aneh. Pelik dari segi penjaring. Ashley Young yang selalunya merepek tetapi masih mendapat kepercayaan David Moyes. Awal pagi tadi dia membalas kepercayaan pengurus dengan satu rembatan kencang dari luar kotak penalti selepas kemasukan Javier Hernandez sebagai pemain gantian. 

Kemudian Young membantu Patrice Evra meledak gol kedua. Hantaran Young dari sayap kiri disambar bek kiri United yang kidal. Secara tiba-tiba Evra melencongkan bola dengan kaki kanan melepasi jangkauan penjaga gol. 

Kemenangan ini adalah yang ketiga berturut-turut untuk United dalam tiga pertandingan. Selepas menewaskan Shakhtar Donetsk 1-0 (Liga Juara-Juara) dan Aston Villa 3-0 (Liga Perdana Inggeris), United meneruskan rentak kemenangan tanpa dibolosi sebarang gol.

KALAH

Malangnya, skuad Harimau Muda tumbang di bumi Myanmar. Skuad Malaysia tewas kepada Indonesia dalam perlawanan separuh akhir Sukan SEA 2013.
Malaysia ketinggalan pada babak pertama apabila pemain Indonesia melakukan hantaran satu-dua yang sangat cantik untuk menembusi benteng pertahanan Malaysia. Thamil Arasu menyelamatkan maruah Malaysia selaku juara bertahan acara bola sepak buat seketika dengan jaringan lewat dalam babak kedua.

Selepas mengharungi masa tambahan, kedudukan kekal terikat 1-1. Penentuan sepakan penalti, cara paling kejam menentukan pemenang. Thamil Arasu mengambil sepakan pertama dan..... GAGAL! Sepakannya mudah dibaca penjaga gol lawan. Sepakan penalti kedua Malaysia juga diambil lemah dan mudah diselamatkan. 

Akhirnya, sepakan penalti kelima Indonesia menghancurkan harapan skuad negara apabila mereka menang penentuan sepakan penalti 4-3 untuk mara ke final. Skuad Malaysia gagal mempertahankan 'ibu' segala pingat emas. 


Walaupun Manchester United menang, Malaysia pula kalah. 
Suka dalam duka. 
Kecewa dalam gembira.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif