Welcome To My Life...

Tuesday, December 10, 2013

WC2014 : Kumpulan D

Assalamualaikum.


Analisis diteruskan dengan Kumpulan D yang dilabel 'Kumpulan Maut' edisi 2014.


URUGUAY


Uruguay layak pada 20 November 2013 untuk mewakili konfederasi CONMEBOL. Uruguay menamatkan pusingan kelayakan di tangga kelima. Posisi terakhir untuk layak ke Piala Dunia tetapi bukan secara automatik. Mereka perlu melalui pusingan play-off antara benua dengan pasukan tempat kelima dari benua Asia. Walaupun berada di ranking keenam dunia, Uruguay boleh dikira bernasib baik kerana Brazil layak selaku tuan rumah. Jika Brazil menyertai pusingan kelayakan, Uruguay mungkin tidak layak.

Dalam play-off dengan Jordan, pasukan Amerika Selatan ini menang agregat 5-0 untuk membuat penampilan ke-12 selepas kali terakhir pada tahun 2010. Pencapian terbaik mereka adalah juara dua kali, 1930 dan 1950.

COSTA RICA


Costa Rica layak secara automatik pada 10 September 2013 selaku naib juara pusingan keempat kelayakan konfederasi CONCACAF di belakang Amerika Syarikat. Edisi kali ini hanyalah penampilan keempat mereka dengan kali terakhir dalam edisi 2006. Pencapaian terbaik pula hanyalah pusingan kedua (1990).

ENGLAND


England layak pada 15 Oktober 2013 selaku pemenang Kumpulan H pusingan kelayakan UEFA. England tidak kalah sepanjang pusingan kelayakan dan menjaringkan gol 31-4 untuk membuat penampilan ke-14 (terakhir pada 2010). Pencapian terbaik England juga adalah juara pada tahun 1966.

ITALI


Itali juga layak secara automatik. Mereka layak lebih awal pada 10 September 2013 dengan memenangi Kumpulan B dalam pusingan kelayakan zon Eropah. Selepas 2010, ini adalah penampilan ke-18 buat Itali. Mereka telah menjadi juara sebanyak empat kali (hanya Brazil lebih baik) pada tahun 1934, 1938, 1982 dan 2006.


KONKLUSI

Kumpulan ini selayaknya digelar 'Kumpulan Maut' kerana melibatkan tiga pasukan yang pernah merasai pengalaman bergelar juara. Costa Rica boleh dikira malang kerana sekumpulan dengan pasukan-pasukan berpengalaman. Walaupun Uruguay hampir tidak layak (jika Brazil melalui pusingan kelayakan), mereka tetap akan ke Brazil diketuai penyerang berbisa, Luis Suarez. Sukar untuk memilih dua pasukan yang layak antara mereka. Dan lebih sukar untuk memilih pemenang kumpulan.
Ramalan aku, Itali akan memenangi kumpulan ini diiringi England ke pusingan kedua.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif