Welcome To My Life...

Thursday, December 12, 2013

Enam Belas

Assalamualaikum.

Entri bola sepak.

Awal pagi tadi, lengkap sudah senarai enam belas pasukan yang akan bertanding dalam pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah musim 2013/2014. Lapan juara dan lapan naib juara kumpulan akan berentap untuk ke pusingan suku akhir. Lapan pasukan di tangga ketiga layak secara automatik ke Liga Europa.

Beberapa drama berlaku awal pagi tadi termasuklah penyingkiran Juventus (pendahulu Serie A Itali).


Walaupun berada di tangga kesembilan Liga Perdana Inggeris ketika ini, Manchester United (England) layak selaku juara tanpa sebarang kekalahan. Bayer Leverkusen (Jerman) akan mengiringi mereka dan Shakhtar Donetsk (Ukraine) turun divisyen.


Real Madrid (Sepanyol) selesa bertakhta di puncak Kumpulan B. Kejayaan mengatasi Juventus (Itali) 1-0 di tempat sendiri menghadiahkan posisi kedua dan slot ke pusingan kedua untuk Galatasaray (Turki) yang menghantar pendahulu Serie A itu ke Liga Europa.


Kelab berbelanja besar, Paris Saint-Germain (Perancis) akan diiringi Olympiacos (Greece) yang berkongsi mata dengan Benfica (Portugal) tetapi layak kerana rekod pertemuan mereka di mana Olympiacos menang di tempat sendiri dan seri di tempat lawan.


Bayern Munich (Jerman) menjuarai Kumpulan D walaupun terikat mata dengan Manchester City (England). Viktoria Plzen (Republik Czech) juga layak ke Liga Europa walaupun mengumpul jumlah mata yang sama dengan CSKA Moscow (Rusia).


Chelsea (England) juga dapat mengelak kelab-kelab gergasi dengan menjuarai Kumpulan E. Schalke 04 (Jerman) akan turut beraksi dalam pusingan kalah mati dan FC Basel (Switzerland) ke divisyen kedua Eropah.


Kumpulan Maut dan paling dramatik apabila perebutan juara kumpulan membawa ke perlawanan terakhir. Napoli (Itali) boleh layak tetapi perlu menewaskan Arsenal (England). Mereka melakukannya (menang 2-0) tetapi terpaksa akur untuk turun divisyen apabila jaringan lewat Kevin Grosskreutz memberikan kemenangan yang Borussia Dortmund perlukan untuk layak. Malang buat Marseille (Perancis) yang gagal memungut sebarang mata.



Atletico Madrid (Sepanyol) menjuarai kumpulan tanpa sebarang kekalahan. Zenit (Rusia) adalah naib juara dengan pungutan markah terendah. FC Porto (Portugal) akan beraksi dalam divisyen yang lebih rendah sepanjang musim ini.


Barcelona (Sepanyol) gah memenangi kumpulan ini dengan membelasah Celtic (Scotland) 6-1 dalam perlawanan terakhir kumpulan. Milan (Itali) seri dengan Ajax (Belanda) dalam perlawanan terakhir yang dramatik apabila mereka beraksi dengan 10 orang pemain selama 70 minit. Satu mata itu membawa mereka mengiringi Barca.


KONKLUSI

Semua wakil England (empat) mara ke pusingan kalah mati dengan dua pasukan memenangi kumpulan (United dan Chelsea). Jerman juga memiliki empat wakil dan dua pasukan mereka juga memenangi kumpulan (Dortmund dan Munich). Tiga wakil Sepanyol yang masih tinggal memenangi kumpulan masing-masing. Lima lagi pasukan yang melengkapkan senarai dari Itali, Rusia, Greece, Turki, dan Perancis. Hanya PSG saja memenangi kumpulan.

JUARA:  Manchester United, Real Madrid, PSG, Bayern Munich, Chelsea, Borussia Dortmund, Atletico Madrid, Barcelona

NAIB JUARA: Bayer Leverkusen, Galatasaray, Olympiacos, Manchester City, Schalke 04, Arsenal, FC Zenit, AC Milan

Mengikut peraturan, lapan juara kumpulan tidak akan diundi untuk bertemu sesama sendiri. Juara akan diundi untuk bertemu salah satu dari lapan pasukan naib juara. Satu lagi peraturan mengatakan juara kumpulan tidak akan diundi menentang pasukan dari peringkat kumpulan dan pasukan dari negara yang sama.

Bermakna United tidak akan bertemu Manchester City dan Arsenal (England) serta Bayer Leverkusen (Kumpulan A). Hanya ada lima pasukan yang mungkin menjadi lawan Manchester United.

Sama-sama kita nantikan majlis undian pada 16 Disember nanti.


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif