Sunday, December 8, 2013

United Kalah Lagi

Assalamualaikum.

Entri bola sepak.

Ya, pasukan kesayangan aku tewas lagi. Kecundang di gelanggang sendiri. Sudah sebelas tahun berlalu sejak kali terakhir mereka tewas dua perlawanan berturut-turut di Old Trafford. Aku tidak dapat menahan jari dari menulis ketika aku sibuk mengulang kaji pelajaran. Perkara ini sangat mengganggu aku.

Manchester United 0-1 Newcastle United
 
Melihat kesebelasan utama semalam, aku berasa sedikit yakin. David De Gea; Rafael, Jonny Evans, Nemanja Vidic, Patrice Evra; Adnan Januzaj, Phil Jones, Tom Cleverley, Nani; Javier Hernandez, Robin Van Persie. Kali pertama tiada Antonio Valencia atau Ashley Young yang membuatkan aku bengang. Kali pertama Nani bergandingan dengan Januzaj di bahagian sayap. Kedua-duanya pantas dan lincah.

Tapi aku silap. Jika dibimbing Alex Ferguson, barisan ini pastinya mudah membelasah Newcastle. Apabila dipimpin Moyes, sebaliknya berlaku. Aku tak tahu apa yang tak kena. Tiada kreativiti, kurang imaginasi. Pasukan ini bergelut di laman sendiri.

Jika Arsenal menang malam ini, United akan ketinggalan 15 mata dari pendahulu liga. Situasi ini sangat asing. Para pemain United kelihatan hilang punca dan moral mereka begitu merudum. Tempat kesepuluh liga. Mid-table. Ini wilayah yang asing bagi skuad Alex Ferguson. Skuad Fergie adalah skuad juara yang sentiasa mencabar tiga kedudukan teratas dari musim ke musim. Mereka tidak mencabar untuk slot Liga Europa.

David Moyes harus ingat, ini bukan Everton. Ini Manchester United, juara bertahan Liga Perdana Inggeris. Moyes tak harus berasa selesa untuk merebut tempat kelapan, slot terakhir ke Liga Europa, pertandingan kelas kedua di pentas Eropah.

Jika ini bukan salah Moyes, kejatuhan United ini menyerlahkan lagi aura seorang figura bernama Alex Ferguson. Jika pasukan ini benar-benar tiada pemain kreatif yang mampu mengangkat mereka menjadi juara, bermakna Ferguson adalah perancang utama kejayaan United selama dua dekad. Pasukan yang biasa yang mencapai rekod luar biasa. Itulah kemampuan sebenar Ferguson menjadi mastermind.

Aku tetap sokong United. Cuma agak kecewa dengan prestasi United ketika ini. Mungkin ada peminat yang sudah mula menyokong Chelsea atau Arsenal. Atau ada yang membuang jersi United. Bagi aku, mereka itu sampah. Peminat plastik. Aku mendapat kekuatan dari kata-kata enonimos. "To support your team when they're winning is easy. But to support them when they're losing is loyal."
 
Aku memang peminat setia. Dulu, kini, dan selamanya.


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif