Welcome To My Life...

Saturday, December 7, 2013

Lengkap Undian


 Entri bola sepak.

Malam tadi berlangsung proses pembahagian kumpulan untuk Piala Dunia 2014. Aku terlepas majlis undian tu kerana terlalu asyik layan Maharaja Lawak Mega minggu ke-4. Tiba-tiba dapat notification dari Eurosport. Terkezut.


Ini adalah  senarai negara yang layak ke Piala Dunia 2014. Melibatkan lima konfederasi iaitu AFC, CAF, CONCACAF, CONMEBOL dan UEFA. Melibatkan empat benua iaitu Asia, Afrika, Amerika, dan Eropah. Kali ini tiada wakil Oceania selepas play-off.


Inilah empat pot untuk majlis undian tersebut. Dan huruf-huruf itu adalah kumpulan yang akan disertai oleh setiap pasukan. Piala Dunia 2014 akan berlangsung di Brazil dari 12 Jun hingga 13 Julai 2014.
Pot 1 adalah untuk pilihan, Pot 2 untuk benua Afrika dan Amerika Selatan. Pot 3 untuk Asia dan Amerika Utara. Dan Pot 4 untuk Eropah.


KUMPULAN A: Brazil (P1), Croatia (P4), Mexico (P3), Cameroon (P2)
  
Ulasan awal: Brazil akan menentang Croatia dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia 2014 pada 13 Jun. Nampaknya Brazil hampir pasti layak ke pusingan seterusnya. Croatia atau Mexico berpeluang cerah mengiringi Brazil.

KUMPULAN B: Sepanyol (P1), Belanda (P4), Chile (P2), Australia (P3)

Ulasan awal: Apabila dua finalis Piala Dunia 2010 yang berentap dalam perlawanan akhir akan bertembung dalam kumpulan yang sama, ini sudah tentu sangat menarik. Sepanyol dan Belanda semestinya menjadi pilihan untuk mara.

KUMPULAN C: Colombia (P1), Greece (P4), Ivory Coast (P2), Jepun (P3)

Ulasan awal: Kumpulan yang tidak melibatkan pilihan utama untuk menjuarai Piala Dunia kali ini. Semua pasukan mempunyai peluang yang sama untuk layak ke peringkat kalah mati. Colombia diketuai Radamel Falcao berpeluang untuk melangkah lebih jauh.

KUMPULAN D: Uruguay (P1), Costa Rica (P3), England (P4), Itali (P4)

Ulasan awal: Malang buat Costa Rica untuk diletakkan sekumpulan dengan tiga bekas juara dunia. England dan Itali diundi dari Pot 4. Kumpulan paling sukar ini dilabel 'Kumpulan Maut'.


KUMPULAN E: Switzerland (P1), Ecuador (P2), Perancis (P4), Honduras (P3)

Ulasan awal: Walaupun layak dari pusingan play-off, Perancis mendapat kumpulan yang mudah. Perancis berkemungkinan besar akan menjuarai kumpulan. Switzerland mungkin dapat mengiringi Perancis ke pusingan kedua.

KUMPULAN F: Argentina (P1), Bosnia-Herzegovina (P4), Iran (P3), Nigeria (P2)

Ulasan awal: Argentina bernasib baik kerana mendapat kumpulan yang sangat mudah. Di atas kertas, Lionel Messi dan rakan-rakan seharusnya mudah layak ke pusingan kedua. Bosnia-Herzegovina memiliki kelebihan untuk mengiringi Argentina.

KUMPULAN G: Jerman (P1), Portugal (P4), Ghana (P2), Amerika Syarikat (P3)

Ulasan awal: Satu lagi 'Kumpulan Maut' selepas Kumpulan D. Jerman mungkin akan menjuarai kumpulan tetapi perebutan slot naib juara akan berlangsung sengit. Ghana mungkin dapat melakukan kejutan untuk mengatasi Portugal.

KUMPULAN H: Belgium (P1), Algeria (P2), Rusia (P4), Korea Selatan (P3)

Ulasan awal: Satu lagi kumpulan mudah tanpa pilihan hangat untuk muncul juara Piala Dunia. Generasi emas Belgium mungkin dapat layak. Rusia atau Korea Selatan berkemungkinan mengiringi Belgium ke pusingan kalah mati.


KONKLUSI:

Begitulah kesudahan majlis undian Piala Dunia 2014. Brazil (Kumpulan A), Argentina (Kumpulan F), dan Perancis (Kumpulan E) berdepan laluan mudah. Kumpulan D dan Kumpulan G akan menjadi 'Kumpulan Maut' dalam edisi kali ini.

Aku hanya memberi ulasan awal kerana aku akan menyambung dengan analisis lengkap setiap kumpulan. InsyaAllah.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif