Welcome To My Life...

Sunday, June 24, 2012

Terus Mara

Assalamualaikum.

Sepanyol terus mara. Gagah dan perkasa. 


Malam tadi aku tengok perlawanan suku akhir ketiga ni sikit-sikit. Kenapa begitu? Sebabnya aku tertidur sepanjang sebahagian besar perlawanan. Pertama, aku bukanlah peminat tegar Sepanyol. Aku hanyalah peminat bola sepak dan permainan cantik. Kedua, aku tahu Sepanyol akan menguasai bola dengan begitu dominan sekali. Ketiga, Perancis bukanlah lawan Sepanyol. Gabungkan semua faktor itu maka terhasillah sebab utama aku mengantuk : perlawanan itu membosankan...

Terbukti pengamatan aku tidak salah.

Perancis diakui memiliki jentera penggempur dihormati dan disegani di seluruh dunia. Memiliki trio Franck Ribery, Samir Nasri dan Karim Benzema sudah cukup untuk menggentarkan mana-mana lawan. Ditambah reputasi Hugo Lloris di pintu gol, sukar untuk menidakkan peluang Perancis. Tetapi lawan diorang sememangnya jauh lebih handal. 

Juara bertahan dunia dan Eropah, Sepanyol, memiliki satu skuad serba mantap dengan majoriti hanya dikumpulkan dari dua kelab utama La Liga, Real Madrid dan Barcelona. Negara yang terkenal dengan identiti permainan tiki-taka dan memiliki sekumpulan pemain tengah terhebat untuk generasi ini. Penguasaan bola adalah falsafah permainan Sepanyol. Itulah puncanya skuad ini memiliki rekod pertahanan yang baik. Bagaimana lagi caranya bertahan tanpa menggunakan pertahanan? Ya, benar. Bertahan dengan menyerang.

Hantaran pendek adalah rahsia Sepanyol untuk terus menguasai pentas dunia. Diketuai pakar 'penyimpan' bola, Xavi dan Andres Iniesta selaku perancang tersohor era ini, bola sukar dirampas dari kaki para pemain Sepanyol. Seperti biasa, Sepanyol menguasai bola dari sepak mula perlawanan. Itulah gaya permainan diorang yang telah sebati dengan skuad pimpinan Vicente del Bosque ini.

Malam tadi milik Sepanyol. Dan malam tadi milik Xabi Alonso.

Memasuki perlawanan mengutip kaps ke-100 baginya, Alonso pasti mahukan perlawanan itu menjadi perlawanan yang akan dikenang sehingga akhir hayatnya. Dan hajat beliau tercapai. Perlawanan malam tadi menjadi memori gemilang yang tertulis indah sebagai sejarah hidupnya. Alonso menjaringkan dua gol. Dan kedua-dua gol itu membawa Sepanyol ke pusingan separuh akhir. Jaringan beliau dalam setiap babak menjadi detik penting kemaraan Sepanyol dalam hasrat mencipta hatrik kejohanan utama bola sepak dunia.

Gol pertama terhasil daripada kombinasi menyerang yang sukar difotokopi. Andres Iniesta mengesan larian overlapping daripada bek kiri, Jordi Alba, lalu menolak bola kepada Alba. Bek kiri itu melepasi kawalan bek kanan Perancis yang tergelincir. Alba begitu tenang melihat sasarannya dan berjaya menghidu kehadiran seorang pemain tidak dikawal di seberang sana. Hantaran lintangnya begitu sempurna untuk ditanduk oleh Alonso dari sebelah kiri menuju penjuru bawah di sebelah kanan gawang. Tandukan menyeberang gawang itu begitu pintar dan mengejutkan Lloris dan seorang pertahanan di hadapannya. Alonso 1-0 Perancis.

Sepanyol terpaksa menanti sehingga lewat permainan sebelum kemaraan mereka disahkan pada minit terakhir masa permainan sebenar. Selepas berhempas pulas menangani ancaman serangan balas pantas daripada Perancis, pemain gantian Sepanyol menjalankan tugasnya. Pedro, seorang pemain lincah menggunakan kepantasan kakinya untuk memperdaya pertahanan Perancis di dalam kotak penalti dan menuju pertembungan satu lawan satu dengan penjaga gol Perancis. Anthony Reveillere terpaksa menjatuhkan Pedro.

Menghormati pemain yang memungut kaps antarabangsa ke-100, para pemain Sepanyol sedar ini adalah perlawanan penting dalam karier bola sepak Xabi Alonso. Beliau diberikan laluan untuk menyempurnakan kemenangan Sepanyol dan membawa mereka menuju perlawanan menentang Portugal. Alonso tidak mengecewakan apabila merembat sepakan penalti itu ke sebelah kanan pintu gol untuk memberikan kemenangan selesa. Alonso 2-0 Perancis.

Kebimbangan Sepanyol hanya sekali apabila sepakan percuma Yohan Cabaye hampir menemui penjuru atas gawang kawalan Iker Casillas. Namun penjaga gol terbaik dunia itu berjaya menyelamatkannya. Sepanjang perlawanan, Casillas menyelamatkan beberapa percubaan dengan tenang untuk memastikan gawangnya tidak dibolosi buat kali ketiga berturut-turut. Hanya sekali Casillas ditewaskan apabila Antonio di Natale menjaringkan gol cantik ketika Sepanyol seri 1-1 dengan Itali dalam perlawanan pertama.

Selepas itu, Casillas ternyata kebal apabila mengekang setiap serangan lawan ketika Sepanyol membenam Republik Ireland 4-0, menumbangkan Croatia 1-0 dan terbaru mengecewakan Perancis 2-0. Casillas adalah figura penting di gawang Sepanyol untuk mengemudi barisan pertahanan yang sebenarnya goyah. Namun kelemahan pertahanan Sepanyol dilindungi penguasaan bola oleh barisan tengah diorang. Falsafah permainan Sepanyol sama seperti kelab utama negara itu, Barcelona. Diorang bertahan dengan menyerang. Apabila bola dikuasai di kaki diorang, macam mana pihak lawan mampu melancarkan serangan? Itulah resepi utama kejayaan Sepanyol.

Selamat tinggal Les Bleus. Tahniah La Furia Roja. Cristiano Ronaldo dan barisan Portugal menanti di separuh akhir. Sepanyol hanya dapat digugat oleh serangan balas pantas memandangkan mereka pakar menyimpan bola. Dan Ronaldo lebih daripada berkebolehan untuk meruntuhkan benteng pertahanan Sepanyol yang rapuh. Bantuan Nani di sayap bertentangan akan menyaksikan pertembungan klasik di mana Portugal akan bertahan dan mengharapkan ketajaman Ronaldo yang menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan berterusan.

Portugal memiliki kelebihan rehat dua hari berbanding Sepanyol. Jika hari perlawanan menjadi milik Ronaldo, Sepanyol boleh melupakan hasrat untuk mempertahankan kejuaraan. Tetapi dengan penguasaan bola yang sangat dominan, sukar untuk memperkatakan tentang Ronaldo. Xavi dan Andres Iniesta akan memainkan peranan. Pertembungan separuh akhir pertama seimbang dengan kedua-dua pasukan memiliki peluang yang sama rata. 










p peluk s : Cuti dah nak habis ooi..

2 comments:

Hanie Dew said...

pengakuan: aku baca sampai para-5 jek..huhuhu..biasala gugirl mana minat nak tau skill skill dan ulasan.hanya tgk player je..hahahhaa..

tp france mmg amat mengecewakan dr 1st game lg.apa pun semoga spain terus maju.

M Fizan said...

@Hanie Dew haha. ni entri nak baca semula bila tua. thanks la sudi komen. wuwu :D

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif