Welcome To My Life...

Saturday, March 23, 2013

Maafkan Aku : Bab 1


"MAAFKAN AKU"
Karya: M. Fizan

BAB 1

"Ucapkanlah cinta... ucapkan ku saja..." Remaja lelaki itu terus menyanyi dan mengikuti baris demi baris lirik lagu kegemarannya. 

Tangannya terus lancar menulis. Ilham di mindanya terus mengalir seperti air sungai yang deras. Tidak bisa tertahankan. Dia memang gemar mengarang puisi. Apabila kena pada masanya, memang dia akan menterjemah idea itu ke atas sekeping kertas. Mahu dikumpul untuk tatapan bakal isteri. Bakat itu tidak pula ingin dikomersialkan. Puisi itu hanya untuk kepuasan peribadi.

Air teh dalam cawan di depannya dihirup. Dia memejamkan matanya menikmati rasa minuman kegemaran. Pantas dia kembali mengarang puisi. Bibir pula tidak lekang mengungkapkan lirik lagu yang sedang berkumandang. Dia memang biasa melakukan dua kerja dalam satu masa. Tiada masalah baginya. 

Rakan serumah pula sedang rajin menyapu. Tiada sampah kelihatan. Memang hobinya begitu. Pantang nampak habuk sedikit. Pasti habuk itu akan menerima hukuman. Jangan risau jika ada sedikit kotoran pada lantai. Jika dilihat saja oleh rakan serumahnya itu, sudah semestinya lantai akan kembali bersih dan berkilat. 

Riak wajah rakan serumahnya tenang. Dia rasa terganggu juga ketika saat-saat awal mereka tinggal bersama. Namun, selepas melalui hari demi hari, dia tidak peduli lagi. Alah bisa tegal biasa. Perasaan rimas lama-lama menghilang dengan sendiri. 'Radio' tak diundang itu sudah menjadi satu kelaziman. Apabila tidak melihat kerenah sang penulis puisi, rasa kesunyian pula.

"Dan kadangkala kita hanya sedar keindahannya...."

"Lagu tu lagi? Berapa kali kau nak ulang?" Dia berhenti menyapu dan tersenyum.

"Azri, macam kau tak tahu... Ni kan lagu feberet aku. Kau kenalah faham.." Tangan berhenti mengarang puisi. Senyuman manis dibalas kembali.

"Ah, memang kau mat jiwang, Fiz. Semua orang tahu tu." Azri menghampiri Hafiz.

"Well, siapa tak kenal Fiz Andika? Popular satu Malaya." Mereka ketawa bersama.

"Haaa, ni puisi pasal apa pulak?" Azri mengambil kertas di atas meja.

"Tengok tajuk tu. Penakluk Hati."

Azri meneliti puisi yang dikarang oleh Hafiz. Pada mulanya, dahi Azri berkerut. Begitu tinggi sekali bahasa yang digunakan oleh Hafiz. Hakikatnya, dia tidak gemar dengan subjek bahasa semasa zaman persekolahannya. Apabila dia mula menangkap makna, senyuman mula terukir. Kreatif juga rakan serumahnya yang seorang ini.

Hafiz kelihatan gusar apabila melihat Azri tidak memahami maksud puisi. Dia memang sengaja menggunakan bahasa yang jarang digunakan. Niatnya memang tidak mahu makna dalam puisi ditangkap dengan mudah. Dia mahu puisinya dihadam beberapa kali sebelum dapat ditafsir. Memang makna cuba disembunyikan sekemas mungkin dalam bait-bait puisi.

"Mantap, bro. Kau memang terbaik." Kertas itu dipulangkan.

"Ini Fiz Andika...." Dadanya sengaja ditepuk-tepuk dengan tangan kanan.

"Dah, kau tak payah nak perasan sangat.."

Mereka ketawa lagi. Azri tahu sahabatnya itu hanya bergurau. Hafiz yang dikenalinya bukan seorang yang riak dan suka membanggakan diri sendiri. Hafiz seorang yang sangat rendah diri. Sekurang-kurangnya itulah yang dapat dilihat oleh Azri sejak mereka mula menetap di rumah itu dua semester lepas. Dia juga tidak pernah mendengar cerita yang kurang enak dari rakan serumah yang lain terutama dari rakan sebilik Hafiz.

Mereka tinggal berempat di dalam rumah di Kolej Timun itu. Kesemua mereka adalah rakan sekelas. Mereka diberi peluang untuk memilih rakan serumah apabila berpindah kolej selaku pelajar tahun kedua. Sebelum itu, mereka tidak tinggal serumah di Kolej Sawi. Kolej kediaman itu hanya didiami oleh pelajar junior lelaki tahun pertama. 

Dua orang lagi rakan serumah mereka ialah Adib Zafri dan Syahid Yasir. Sama seperti Azri Akashah dan Hafiz Andika, Adib dan Syahid juga ialah pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam yang sedang dalam program persediaan sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di luar negara. Semua pelajar di dalam kelas mereka juga bakal menuju ke destinasi yang sama.

"Azri, Adib mana?" Mata Hafiz masih tertumpu pada puisinya.

"Biasalah budak tu. Masa ni dia tengah study group dengan budak perempuan kelas kita." 

"Untunglah star kan."

Hafiz teringat satu perkara. Dahulu dia juga mahu turut serta dalam kumpulan belajar itu. Dia sebenarnya minat aktiviti-aktiviti sedemikian. Malangnya, ada seseorang yang menghalangnya dari meneruskan penyertaan. Hafiz perlu membatalkan hasratnya. Semua itu dek kerana kewujudan peminat setia bernama Najwa Najiha. Najwa ialah rakan sekelas Hafiz yang meminatinya sejak kali pertama mereka bersua.

Dia sedar layanan Najwa kepadanya sedikit berbeza. Bukan dia seorang saja yang perasan dengan keanehan Najwa. Malah rakan-rakan sekelas yang lain juga pernah menyatakan perkara yang sama. Hafiz malas untuk peduli perkara yang tidak pasti kesahihannya. Dia anggap Najwa hanya selesa dengannya sehinggalah berlaku satu peristiwa.

"Haaa, teringat Wawalah tu. Aku dah agak. Dialah penakluk hati kau kan?"

"Kecohlah kau, Azri. Baru nak layan perasaan."

"Kau kalau suka Wawa tu beritahu dia. Tak payah dia nak ternanti-nanti."

Hafiz membaling pen tepat ke badan Azri walaupun Azri cuba mengelak. Azri ketawa geli hati. Memang mereka biasa bersenda begitu. Dia suka mengusik Hafiz. Sebenarnya dia kasihan dengan Najwa. Gadis itu sangat sayangkan Hafiz. Dia sendiri tidak tahu akan hakikat itu sehingga peristiwa semester satu itu terjadi di depan matanya sendiri. Azri memulangkan pen kepada Hafiz.

"Biarkanlah Wawa. Aku tak dapat nak sayang dia. Hati aku cuma untuk Atisa."


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif