Welcome To My Life...

Friday, March 22, 2013

Maafkan Aku : Prolog


"MAAFKAN AKU"
 Karya: M. Fizan

PROLOG

Damai. Suasana petang yang nyaman. Tenang lagi menenangkan. Angin bertiup perlahan, sangat mengasyikkan. Mudah untuk fikiran melayang. Rasa seperti terbang. Mata wanita itu memandang ke hadapan. Namun, rohnya tidak berada di sana. 

Dia lemas dalam memori. Kenangan silam yang mengusik hati. Tarikh hari ini menyimpan cerita. Rahsia yang tersimpul rapi dan penuh makna. Dia takkan lupa apa yang berlaku pada tarikh itu. Hari yang mengubah kisah hidupnya. Bagaikan semalam peristiwa itu berlaku. Tanpa sedar sedekad telah berlalu. 

Dia tersenyum. Air mata menitis tanpa dipinta. Perasaan yang tidak dapat diertikan dengan seindah bahasa. Dia tidak tahu bagaimana untuk mengungkapkannya. Satu penyesalan yang tiada kesudahan. Betapa dia ingin mengubah masa lampau. Tangan kanannya mengesat air mata.

Jika diberikan satu lagi peluang, dia mahu mengubah cerita hidupnya. Dia mahu satu lagi kesempatan. Cukuplah hanya sekali lagi. Dia tahu itu adalah perkara yang mustahil. Tidak mungkin dan tidak akan pernah berlaku. Masa lalu adalah satu jarak yang paling jauh. Masa tak akan berputar kembali.

"Mama, Boy nak air." Bajunya ditarik.

Wanita itu tersedar dari lamunan. Seorang budak lelaki berada di depannya. Budak yang membuatkan dia bergelar 'mama' sejak lima tahun lepas. Ya, budak itu anaknya. Satu-satunya zuriat yang dianugerahkan oleh Ilahi. Amanah Allah yang teramat dikasihi.

"Sebentar ya, Boy."

Pandangan redup penuh kasih buat anak tunggal yang sangat dicintainya. Bekas air di sebelah diambil dan penutupnya dibuka. Bekas disuakan kepada anaknya yang berpeluh. Dia melihat kenikmatan setiap tegukan oleh permata hati. 'Mama sayang Boy' hati bermonolog sendirian. 

"Boy penat ya, sayang?" Dia mengusap rambut anaknya.

Anaknya hanya menganggukkan kepala. Dia mengembalikan bekas kepada ibunya. Senyuman manis tanda terima kasih diukir. Sangat membahagiakan sesiapa saja yang melihat. Dia memuncungkan bibir ke arah wanita itu yang pantas merendahkan pipinya untuk dikucup oleh anak kesayangannya.

Anak kecil itu berlari kembali menuju taman permainan. Hatinya rasa bersyukur kepada Yang Maha Esa. Anak yang cergas ini membawa kebahagiaan yang sangat indah buat diri. Setiap hari yang dilalui dalam membesarkan anaknya semakin mematangkan.

Wanita itu masih di bangku. Membiarkan anaknya bermain dengan riang. Dia gemar membawa anaknya ke taman itu. Dia mahu anaknya bebas mengenal dunia. Tidak mahu mengurung anak tercinta. Dia tidak mahu perkembangan anaknya terbantut. Dia tidak rela anak pintar itu menjadi mangsa.

Khayalan pantas menguasai minda. Begitu pantas fikirannya melayang. Semuanya berlaku tanpa dia sedari. Tarikh hari itu begitu mencengkam. Sanubari terus disentuh kenangan silam. Dan dia tenggelam. Hanyut dalam diam. Lemas dalam suram.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif