Assalamualaikum.
Babak pertama bermula, saatku terlihatmu. Waktu seakan terhenti, terpinga mencari. Upsss, tu lagu Drama Band. Babak pertama yang aku maksudkan adalah Liga Juara-Juara Eropah musim 2012/2013 yang telah membuka tirainya awal pagi tadi. Kepada korang yang anti-bola atau kaki meja, sila baca entri yang lain. Kaki bola sekalian bolehlah membaca laporan keseluruhan semua perlawanan yang berlangsung.
KUMPULAN A
Di Stadion Maksimir, FC Porto (Portugal) menguasai bola dan menang bergaya 2-0 ke atas tuan rumah, GNK Dinamo Zagreb (Croatia). Kapten, Lucho Gonzalez, menjaringkan gol di penghujung babak pertama sebelum Steven Defour membunuh harapan Zagreb dengan jaringan dalam waktu kecederaan separuh masa kedua.
Di Parc Des Princes, bintang baru PSG (Perancis), Zlatan Ibrahimovic, mengetuai pasukan tuan rumah membenam Dynamo Kyiv (Ukraine) 4-1. Ibrahimovic meledak sepakan penalti untuk menjadi pemain pertama menjaringkan gol untuk enam kelab berbeza dalam Liga Juara-Juara Eropah. Tiga lagi gol disumbat oleh Thiago Silva, Alex, dan Javier Pastore. Gol saguhati Kyiv dijaringkan oleh Miguel Veloso.
PSG berkongsi mata dengan Porto di puncak Kumpulan A dengan memiliki kelebihan jaringan.
PSG berkongsi mata dengan Porto di puncak Kumpulan A dengan memiliki kelebihan jaringan.
KUMPULAN B
Di Stadium Georgios Karaiskakis, Olympiacos (Greece) menguasai 60% bola tetapi tewas kepada pelawat, Schalke 04 (Jerman). Benedikt Höwedes menjaringkan gol untuk pasukan pelawat di penghujung separuh masa pertama. Djamel Abdoun menyamakan kedudukan menjelang detik setengah jam. Hanya seminit saja tuan rumah ceria. Klaas-Jan Huntelaar menjaringkan gol kemenangan sebelum gagal menyempurnakan penalti selepas itu.
Di La Mosson, satu lagi tuan rumah tumbang. Montpellier Hérault SC (Perancis) melakukan lebih banyak serangan ke arah gol walaupun penguasaan bola memihak kepada Arsenal (England). Tuan rumah mendahului menerusi sepakan penalti menarik dari Younés Belhanda. Dua gol dalam tempoh tiga minit oleh Lukas Podolski dan Gervinho membantu kebangkitan Arsenal. Kedua-dua gol Arsenal mendapat sentuhan bekas bintang tuan rumah, Olivier Giroud.
Arsenal dan Schalke berkongsi tempat teratas.
KUMPULAN C
Di La Rosaleda, tuan rumah menang bergaya. Pendatang baru Liga Juara-Juara Eropah, Málaga CF (Sepanyol) membelasah FC Zenit St Petersburg (Rusia) 3-0. Pemain muda berusia 20 tahun, Isco, menjadi wira dengan dua gol cantik sebelum dan selepas jaringan Javier Saviola. Bukan malam yang diinginkan oleh bintang baru Zenit, Hulk yang berpindah dari Porto.
Di Stadio Giuseppe Meazza, keputusan seri tunggal dan pertama musim ini dicatatkan dengan penguasaan bola seimbang. AC Milan (Itali) selaku tuan rumah terikat tanpa jaringan dengan RSC Anderlecht (Belgium). Penjaga gol Anderlecht, Silvio Proto menjadi hero apabila menyelamatkan beberapa percubaan bahaya tuan rumah.
Keputusan seri ini membolehkan Malaga mendahului Kumpulan C.
KUMPULAN D
Di Estadio Santiago Bernabéu, Real Madrid (Sepanyol) mengecewakan Manchester City (England) 3-2 dalam pertembungan dua juara liga domestik. Perlawanan dramatik ini bermula lewat dengan jaringan pemain gantian pelawat, Edin Džeko, 22 minit sebelum perlawanan tamat. Marcelo menyamakan kedudukan lapan minit kemudian. Aleksandar Kolarov kembali meletakkan City di hadapan dengan sepakan percuma cantik lima minit sebelum masa sebenar permainan tamat. Dua minit berselang, Karim Benzema meledak untuk mengikat jaringan. Beberapa saat sebelum tamat masa permainan sebenar, rembatan kencang Cristiano Ronaldo memberikan kemenangan buat tuan rumah. Real Madrid sememangnya layak menang dengan percubaan yang jauh lebih banyak (30 berbalas 8).
Di BVB Stadion Dortmund, tuan rumah juga muncul pemenang hasil jaringan lewat permainan. Borussia Dortmund (Jerman) menang 1-0 ke atas Ajax Amsterdam (Belanda) dalam satu lagi pertemuan dua juara liga domestik negara masing-masing. Robert Lewandowski begitu tenang mengawal bola di dalam kotak penalti sebelum menjaringkan gol pada minit ke-87. Lewandowski menyelamatkan maruah tuan rumah selepas Mats Hummels gagal menjaringkan sepakan penalti sebelum itu.
Real Madrid dan Borussia Dortmund berkongsi takhta Kumpulan Maut.
Keseluruhannya, awal pagi tadi menjadi malam yang berwarna-warni. PSG yang berbelanja besar menang bergaya. Malaga membuat kemunculan pertama dalam kejohanan ini seperti pasukan berpengalaman. Arsenal pulang gembira ketika AC Milan hampa di laman sendiri. Madrid dan Dortmund pula memulakan aksi Kumpulan maut dengan langkah kanan.
Kumpulan E-H akan diteruskan awal pagi esok melibatkan pasukan kesayangan aku, Manchester United. Sekian dulu, wassalam.
p palang s : Tak sabar...
No comments:
Post a Comment