Welcome To My Life...

Thursday, September 20, 2012

Victorious Devil

Assalamualaikum.

Aku tidur berapa jam je malam tadi. Sampai bangun Subuh terawang-awang. Aku tengok perlawanan Liga Juara-Juara Eropah melibatkan kelab kesayangan aku, Manchester United, pada pukul 3 pagi. Perlawanan berakhir dua jam kemudian dan aku menyambung lenaku walaupun hajat di hati nak melakukan qiamullail. Dem! Sejam je aku tidur sebelum bangun solat dan terasa badan aku bergerak tanpa jiwa. Arrghh.

United memulakan kempen 2012/2013 selepas tersingkir di peringkat kumpulan musim lepas. Sir Alex Ferguson tidak mahu bergurau lagi dengan membariskan pasukan terkuat. David De Gea kembali mengawal gawang dan Rafael - Nemanja Vidic - Jonny Evans - Patrice Evra membina benteng di hadapannya. Paul Scholes - Michael Carrick membentuk gandingan pemain tengah bertahan dalam formasi 4-2-3-1. Tiga pemain tengah menyerang dari kanan ke kiri ialah Antonio Valencia - Shinji Kagawa - Nani. Robin van Persie kembali dari kecederaan untuk menjadi penyerang tunggal.

Beraksi di kubu sendiri, Old Trafford, penyokong lebih teruja untuk menantikan kemunculan semula Darren Fletcher selepas 10 bulan menyepi dari arena bola sepak akibat masalah kesihatan. Fletcher tersenarai dalam pasukan Fergie dan berada di bangku simpanan bersama Anders Lindegaard, Tom Cleverley, Anderson, Javier Hernandez, Danny Welbeck dan Rio Ferdinand. Bagaimanapun, United bermula kurang baik apabila terselamat daripada menghadapi sepakan penalti selepas Nemanja Vidic mengasari Umut Bulut ketika permainan baru bermula.


Namun. kualiti serangan United terserlah apabila Kagawa berjaya mengesan larian Carrick yang menggelecek penjaga gol sebelum menolak ke gawang terbuka. Carrick sudah terjatuh ketika itu kerana dikasari penjaga gol lawan, Fernando Muslera, tetapi dia memilih untuk mengambil peluang ketika sepakan penalti dan kad merah untuk Muslera akan menjadi realiti jika Carrick tidak meneruskan tindakannya. 

Selepas itu, segala-galanya tidak menjadi buat United. Red Devils menghadapi beberapa serangan berbahaya sepanjang permainan ketika diorang sendiri terlepas beberapa peluang keemasan. Nordin Amrabat dan Hamit Altintop hanya dinafikan oleh tiang untuk pasukan pelawat dalam mencari gol penyamaan. De Gea terpaksa beraksi cemerlang sepanjang perlawanan termasuk melakukan satu aksi menyelamat berkelas dunia pada separuh masa kedua untuk mempertahankan defisit satu gol.



United bukanlah tidak memiliki peluang. Deretan peluang yang pada hari lainnya sudah berada di dalam gol, tidak menjadi buat United awal pagi tadi. Mungkin tuah sudah kehabisan, jentera serangan United mempersiakan satu demi satu peluang. Penyerang prolifik, van Persie seperti hilang punca apabila gagal menyudahkan peluang yang biasanya tidak dibiarkan. Penggantinya, Javier Hernandez juga tidak kurang membazir. Peluang demi peluang dicipta tetapi gagal disempurnakan. Debaran memuncak apabila Galatasaray melancarkan serangan kerana United hanya mendahului 1-0. 


Nani pula sukar diramal awal pagi tadi. Bukan saja tidak konsisten dari perlawanan ke perlawanan, malah persembahan Nani naik turun dari minit ke minit. Aksi menentang Galatasaray membuktikan persembahan Nani sukar untuk dipuji atau dikritik. Baru saja dipuji apabila dia beraksi cemerlang, tiba-tiba dia melakukan kesilapan. Dan baru saja dikritik, tiba-tiba dia menunjukkan kepintarannya. Pemain yo-yo yang perlu dikutuk jika mahu melihat kehebatannya.

Apa pun, Nani telah menjadi pemain United ketiga yang gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam perlawanan ketiga berturut-turut. Selepas van Persie dan Hernandez, sepakan lemah Nani diselamatkan Muslera selepas Rafael dijatuhkan. Sangat mengecewakan dan membuatkan perlawanan ini sangat mendebarkan ketika menuju penghujungnya. Jika ditakdirkan United seri, Nani akan dipersalahkan oleh semua staf dan penyokong United. 

Keseluruhannya, clean sheet dalam kemenangan 1-0 ini sangat penting untuk membina keyakinan bahawa unit pertahanan United semakin utuh dengan adanya Nemanja Vidic selaku kapten berwibawa yang tenang mengharungi badai serangan bergelora dari Galatasaray. Vidic menggunakan segala pengalaman yang ada untuk menyekat arus serangan pasukan juara Turki. Permainan menyerang juga ada ketikanya sangat bagus. Peluang demi peluang dicipta menembusi benteng pertahanan Galatasaray yang tersusun rapi. Gerakan sepasukan sangat lancar dan hanya penyudah perlu dipertajamkan.

Aksi menentang Liverpool menanti Ahad ini. Jika seni menyerang sama dipersembahkan, tidak mustahil Liverpool akan dibelasah teruk. Yang penting, para pemain United tidak boleh terlalu baik hati dan simpati. Diorang perlu lebih kejam dan menyempurnakan peluang sezalim yang mungkin. I'll wait for that.











s peluk s : Bahagia...


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif