Welcome To My Life...

Monday, September 3, 2012

Prebiu UCL 2012/2013 Part 2

Assalamualaikum.

Bahagian pertama telah aku sempurnakan dengan 'pembedahan' Kumpulan A-D. Aku akan teruskan prebiu Liga Juara-Juara Eropah musim 2012/2013 yang akan bermula 18 September ini dengan analisis Kumpulan E-H. Jika Kumpulan D ialah Kumpulan Neraka, tiada kumpulan seperti itu lagi dalam baki kumpulan yang ada yang melibatkan gergasi seperti Chelsea (juara bertahan), Juventus, Bayern Munich, Barcelona, dan Manchester United.

KUMPULAN E


Semua pasukan dalam Kumpulan E layak dengan tiket automatik, membabitkan tiga juara liga domestik dan juga juara bertahan Eropah. Chelsea FC (England) hanya menamatkan musim lepas di tangga ke-6 English Premier League tetapi tetap layak selaku penyandang juara Liga Juara-Juara Eropah selepas menundukkan Bayern Munich dalam final. FC Shakhtar Donetsk (Ukraine) ialah juara Ukrainian Premier League, Juventus FC (Itali) ialah juara Serie A, dan FC Nordsjælland (Denmark) ialah juara Danish Superliga.

Chelsea dan Juventus dijangka mudah mara ke pusingan seterusnya.

KUMPULAN F


Pasukan yang layak automatik bukan juara liga domestik sebaliknya juara liga domestik terpaksa melalui play-off kerana prestasi liga itu di pentas Eropah tidak cemerlang. FC Bayern Munich (Jerman) menamatkan musim lalu selaku naib juara Bundesliga ketika Valencia CF (Sepanyol) juga mendapat tiket automatik selepas mendapat tempat ke-3 La Liga. Lille OSC (Perancis), pemenang tempat ke-3 Ligue 1, beraksi dalam play-off dan mara selepas terikat 1-1 secara agregat, dan masa tambahan memihak Lille untuk mengecewakan FC Copenhagen dari Denmark dengan keputusan 2-1. FC BATE Borisov (Belarus) pula ialah juara Belarusian Premier League yang memenangi perlawanan play-off menghampakan kelab Israel, Hapoel Kiryat Shmona FC, dengan agregat 3-1.

Bayern dan Valencia merupakan pilihan hangat di atas kertas.

KUMPULAN G


Situasi sama seperti Kumpulan F, juara liga domestik terpaksa melalui play-off ketika pasukan bukan juara di negara diorang mara automatik kerana perbezaan taraf liga. FC Barcelona (Sepanyol) mara selepas bergelar naib juara La Liga dan SL Benfica (Portugal) pula menjadi naib juara Primeira Liga. FC Spartak Moscow (Rusia) di tangga ke-4 Russian Premier League dan mara selepas menghampakan kelab Turki, Fenerbahce SK, 3-2 secara agregat dalam play-off. Celtic FC (Scotland) melengkapkan kumpulan sebagai juara Scottish Premier League dan membenam Helsingborgs IF dari Sweden 4-0 secara agregat dalam play-off.

Barcelona dan Benfica diramal tidak menghadapi masalah untuk melangkah.

KUMPULAN H


Manchester United FC (England) boleh dikira malang kerana bergelar naib juara English Premier League hanya kerana perbezaan gol. SC Braga (Portugal) ialah pemenang tempat ke-3 Primeira Liga. Diorang cemas selepas terikat agregat 2-2 dengan kelab Itali, Udinese Calcio. Diorang akhirnya menang penentuan sepakan penalti 5-4 selepas masa tambahan gagal memisahkan kedua-dua pasukan dalam satu-satunya play-off yang melibatkan sepakan penalti sebagai pemisah. Galatasaray (Turki) pula mara dengan reputasi sebagai juara Super Lig. CFR Cluj (Romania) juga merupakan juara liga domestik dengan menjadi juara Liga I. Bezanya Cluj terpaksa mengharungi perlawanan timbal balas play-off sebelum mengatasi FC Basel dari Switzerland dengan agregat 3-1.

United dijangka tidak menghadapi kesukaran untuk mara diiringi oleh Galatasaray.


FOKUS E-H

Kumpulan E agak mudah bagi juara bertahan. Chelsea hanya perlu bersaing dengan Juventus untuk merebut posisi juara kumpulan. Donetsk dan pendatang baru, Nordsjælland, seharusnya tidak mendatangkan masalah. Perhatian akan tertumpu kepada bintang baru Chelsea, Eden Hazard, yang ketika ini memulakan musim baru dalam liga domestik membentuk gandingan mantap bersama Fernando Torres. Chelsea telah berbelanja besar dalam pasaran perpindahan pemain dan sepatutnya dapat mengatasi Juventus yang memiliki Gianluigi Buffon dan Andrea Pirlo.

Kumpulan F akan menjadi medan percubaan seterusnya bagi Bayern Munich yang terpaksa akur kepada Chelsea dalam final musim lalu. Bayern diperkuatkan dengan kehadiran Javi Martinez. Valencia menjadi pilihan utama untuk sekurang-kurangnya menyaingi Bayern. Baki dua pasukan memiliki peluang tipis. Lille cuba meneruskan kehidupan pasca era Eden Hazard. Juara Belarus, BATE Borisov, dilihat sekadar melengkapkan kumpulan. Pengalaman mungkin bonus bagi Borisov dalam kumpulan yang dihuni naib juara musim lepas.

Kumpulan G milik Barcelona. Sekurang-kurangnya itu yang dapat diperkatakan buat ketika ini. Barca perlu membuktikan sesuatu pasca era Pep Guardiola yang berehat dari dunia pengurusan. Tempatnya diambil alih oleh Tito Vilanova. Meskipun lemah dalam permulaan musim baru liga domestik, kumpulan ini masih mudah bagi bintang-bintang Barca. Diorang akan cuba mengubati kekecewaan tewas di separuh akhir kepada Chelsea musim lalu. Hanya Benfica dilihat akan memberi sedikit cabaran. Kemunculan semula Celtic mungkin sekadar melengkapkan jadual bersama Spartak Moscow. Benfica dijangka mengiringi Barcelona.

Kumpulan H begitu mudah bagi gergasi bola sepak Eropah, Manchester United. Walaupun begitu, kemaraan masih jauh dari kepastian. Situasi hampir serupa musim lepas menyaksikan United tersungkur di halangan peringkat kumpulan. Sejarah memalukan itu tidak seharusnya berulang dengan United diperkuatkan kehadiran penyerang prolifik, Robin van Persie dan Shinji Kagawa. Jika United tidak melakukan kesilapan, posisi juara kumpulan sememangnya milik diorang dan tempat kedua menjadi rebutan Galatasaray dan Braga. Sukar untuk memperkatakan peluang juara Romania, CFR Cluj. Pengalaman begitu berharga.












p sepak s : Red Devils forever...


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif