Assalamualaikum.
Malam semalam Manchester United kesayangan aku beraksi garang pada babak kedua untuk membelasah Wigan. Aku rasa bertuah menonton perlawanan semalam. Dah lama aku tak rasa macam tu. Selama ni aku rasa Manchester United menang nasib. Contohnya, RVP mengetuai kebangkitan lewat permainan dalam perlawanan terakhir dua minggu lepas sebelum aksi liga berhenti rehat untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa.
Oh ya, malam tadi, Paul Scholes, Sir Alex Ferguson, Ryan Giggs, dan Rio Ferdinand semuanya mencapai satu lagi penanda aras baru dalam lembaran sejarah gemilang diorang. Perlawanan malam tadi adalah perlawanan penting bagi empat figura yang setia dalam kisah cinta pemain dan kelab.
Perlawanan malam tadi merupakan perlawanan liga yang ke-500 bagi Fergie di tempat sendiri. Ryan Giggs pula terus mencipta sejarah baru dengan menjadi pemain pertama merekodkan aksi Liga Perdana Inggeris ke-600. Bek kental, Rio Ferdinand juga tidak mahu ketinggalan mencatat rekod peribadi. Rio menempatkan diri dalam kesebelasan utama untuk beraksi buat kali ke-400 menyarung jersi Manchester United. Pemain tengah tersohor, Paul Scholes, pula beraksi untuk Manchester United buat kali ke-700 dalam semua pertandingan.
Anders Lindegaard memulakan perlawanan di antara dua tiang. Rafael, Rio Ferdinand, dan Nemanja Vidic juga mengekalkan posisi diorang dari perlawanan lepas, sama seperti Lindegaard. Kecederaan Evra menjadi satu rahmat bagi Alexander Buttner yang menyarung jersi senior Manchester United buat kali pertama di posisi bek kiri. Nani, Michael Carrick, Paul Scholes dan Ryan Giggs membentuk jentera tengah. Danny Welbeck dan Javier Hernandez melengkapkan formasi 4-4-2.
Shinji Kagawa direhatkan bersama RVP selepas masing-masing mengalami sedikit kecederaan semasa aksi antarabangsa. Bangku simpanan dilengkapkan Jonny Evans, Antonio Valencia, Nick Powell, Tom Cleverley, dan David de Gea. Sekalipun tanpa dua bintang baru, barisan Manchester United masih gagah dan bermula garang.
Seawal minit keempat, Danny Welbeck mendapatkan sepakan penalti kontroversi setelah dia kelihatan dijatuhkan oleh penjaga gol Wigan, Ali al-Habsi. Walaupun ulang tayang menunjukkan hanya sedikit sentuhan diterima Welbeck, aku memuji kelicikan Welbeck yang pintar memanfaatkan peluang di mana al-Habsi meluru untuk merampas bola di kakinya. Dia menolak bola ke depan lalu tangan al-Habsi terkena kakinya dan dia terjatuh.
Pengadil tak teragak-agak memberikan sepakan penalti. Ali al-Habsi mungkin merasakan keadilan berpihak semula kepadanya setelah sepakan penalti Javier Hernandez sangat lemah dan mudah ditepis olehnya. Sepakan penalti kedua yang gagal disempurnakan pemain Manchester United selepas RVP turut mengecewakan ketika menentang Southampton.
Babak pertama diserikan dengan kegagalan Danny Welbeck yang memiliki begitu banyak peluang tetapi gagal disempurnakan. Babak pertama berakhir tanpa jaringan. Para pemain Wigan pasti berasa lega kerana diorang terpaksa menghabiskan majoriti babak pertama dengan bertahan menentang jentera serangan United yang diterajui oleh Giggs dan Scholes. Serangan bertali arus yang dilancarkan Manchester United membuatkan aku yakin, hanya masa yang akan menentukan bilakah United akan membolosi gawang Wigan.
Jika Wigan berjaya bertahan sepanjang babak pertama, diorang tak dapat terus mengawal gawang daripada dibocori dan tiada watak lain yang lebih layak untuk menjaringkan gol dalam perlawanan ini melainkan Paul Scholes. Nani menewaskan pertahanan di sayap kanan dan melorongkan bola ke tengah kotak penalti. Welbeck kehilangan bola tapi Carrick berjaya melakukan hantaran tepat kepada Nani di sebelah kanan otak penalti. Hantaran silang Nani ditepis al-Habsi. Malangnya, Scholes berada di tempat yang tepat pada masa yang tepat untuk menolak mudah ke gawang terbuka, sama seperti yang dilakukan RVP ketika menentang Southampton.
Satu mana cukup. Chicharito menebus kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti di awal perlawanan dengan gol kedua untuk Syaitan Merah. Chicharito tidak dikenali kerana rembatan kencang tetapi kerana naluri pemusnah yang dimilikinya. Hernandez akan berada di tempat yang tepat pada masa yang tepat. Penyerang prolifik dalam kotak penalti, Hernandez adalah pakar penggempur jarak enam ela dengan satu lagi penyudah berbisa. Rembatan Buttner ditampan Hernandez melepasi al-Habsi. Walaupun para pemain Wigan meminta gol itu dibatalkan kerana ofsaid, ulang tayang mengesahkan jaringan Hernandez sah kerana dia berada dalam posisi onsaid.
Selepas mencipta gol untuk Hernandez, Buttner mencetak namanya sendiri sebagai penjaring gol. Aksi sulung Buttner bersama Red Devils dihiasi dengan larian kencang di sebelah kiri padang. Buttner memastikan malam debut disudahkan dengan nota ceria. Mengutip bola di sayap kiri, Buttner memecahkan benteng dengan menewaskan beberapa orang pemain sebelum rembatan kaki kirinya ditepis oleh al-Habis ke dalam gol. Kehebatan yang sungguh gemilang dari bek kiri baru United. Evra kelihatan sudah memiliki pencabar untuk posisi yang dikuasainya selama ini.
Seorang lagi pemain yang beraksi buat kali pertama dan satu lagi gol menarik. Danny Welbeck melakukan larian yang cuba merobohkan tembok pertahanan Wigan sekali lagi. Dia dijatuhkan, tidak mendapat sepakan percuma dan bola dikeluarkan. Sayangnya, bola itu tepat ke kaki Hernandez yang berjaya mengesan larian Nick Powell. Pertahanan Wigan merebahkan badan untuk menahan rembatan Powell tetapi dia diperdaya. Powell melakukan satu sentuhan untuk membebaskan diri dari pertahanan dan melepaskan satu rembatan yang sangat kencang. Gawang bergegar menandakan betapa derasnya sepakan padu pemain berusia 18 tahun yang gagal diselamatkan oleh al-Habsi.
Seorang pemain veteran yang menjaringkan gol dalam perlawanan penting. Seorang penyerang berbisa yang menebus kegagalan sepakan penalti. Dua orang pemain baru yang menjaringkan gol dalam aksi pertama. Satu lagi kemenangan untuk Sir Alex Ferguson. Satu kemenangan mudah untuk skuad Manchester United yang tidak membariskan pasukan terkuat. Satu persediaan yang mantap bagi Red Devils sebelum memulakan aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang kelab Turki, Galatasaray, awal pagi Khamis ini.
Satu malam gemilang buat diorang semua. Juga satu mimpi indah bagi aku dan para peminat setia, kipas-susah-mati Manchester United. Glory glory Red Devils. Keputusan seri untuk Chelsea dan Manchester City menambah perisa keseronokan semalam. Selepas Galatasaray, Liverpool menanti untuk pertembungan dua gergasi liga Inggeris. Aku tak sabar menanti RVP dan Kagawa beraksi semula. Jika aksi semalam berjaya diteruskan, Liverpool mungkin dibelasah teruk. ^_^
p palang s : Galatasaray next..
No comments:
Post a Comment