Welcome To My Life...

Sunday, September 2, 2012

Thousandth Battle

Assalamualaikum.

Malam ini akan menjadi malam bersejarah bagi pengurus legenda Manchester United yang masih bertahan ketika usianya makin lanjut, The Living Legend Sir Alex Ferguson. Pengurus dari Scotland yang memimpin kelab terbesar di dunia. Pengurus bola sepak paling berjaya dan disegani di seluruh dunia. Pengurus dengan deretan kejuaraan dan tiada tandingan. Kabinet trofi sudah penuh dengan pelbagai kejuaraan. Fergie sudah memiliki segalanya. Eropah sudah ditakluk, dunia juga sudah ditawan.

Rekod demi rekod dipecahkan dan Fergie masih belum selesai. Seleranya untuk menjadi juara semakin meningkat selepas terlepas gelaran Liga Perdana Inggeris musim lepas hanya kerana perbezaan gol. Semangat Fergie semakin membara untuk kembali menawan Liga Perdana Inggeris, Eropah dan juga dunia. Fergie tidak mahu bersara sebelum dia kembali bertakhta di puncak dunia.

The best manager of all time

Tidak dapat dipertikaikan lagi, Fergie adalah pengurus terbaik sepanjang zaman. Pep Guardiola dan Jose Mourinho perlu konsisten selama dua dekad sebelum boleh menggantikan Alex Ferguson. Guardiola pernah memenangi enam kejuaraan semusim termasuk juara kelab dunia tetapi sudah berehat walaupun baru mengurus Barcelona kurang lima tahun. Mourinho sudah menjuarai empat liga utama Eropah di Portugal, England, Itali dan Sepanyol; masing-masing bersama Porto, Chelsea, Inter Milan, dan Real Madrid. Dia juga telah menjadi juara Eropah dua kali bersama Porto dan Inter Milan. 

Tetapi rekod Fergie lebih hebat. 6 November 1986 adalah tarikh penting dalam kalendar hidup Fergie. Hari dia ditabalkan menjadi pengurus Manchester United dan permulaan karier gemilang yang tidak pernah disangka. Ketika itu, Liverpool adalah kuasa utama bola sepak Inggeris dengan 18 kejuaraan liga. Hampir sedekad sebelum aku lahir pada 1993, Fergie telah memimpin Red Devils. Kini aku berusia 19 tahun, dan Fabulous Ferguson masih gagah. Arif dan pintar mengatur strategi Manchester United.

Dua bulan lagi genaplah 26 tahun Fergie menjadi pengurus paling dihormati oleh aku dan seantero dunia. Sudah ramai anak-anak didik Fergie yang menjadi pengurus selepas bersara dari beraksi tetapi Fergie masih gagah berjuang. Malah, dia sudah lali berhadapan dengan pengurus dalam kalangan anak-anak buahnya satu ketika dahulu. Steve Bruce, Mark Hughes, dan Roy Keane sebagai contoh pernah menentang bos diorang dan tewas. Barisan pengurus yang pernah ditumbangkan Fergie jika dikumpulkan, akan membentuk satu ensiklopedia. Tidak terkira lagi berapa ramai pengurus yang pernah menentang Fergie dan akur akan kehebatan taktikal Fergie.

Fergie seharusnya bersyukur kerana pengurusan kelab pada waktu itu percaya dan yakin kepadanya. Bertahun-tahun Fergie membina United tanpa kejayaan besar sebelum era Liga Perdana bermula pada 1992. Jika dibandingkan dengan hari ini, pengurus akan disingkirkan jika gagal dalam masa semusim. Kota Rom tidak dibina dalam masa sehari. Kepercayaan yang diterima Fergie adalah asas kejayaannya hari ini. Malang buat pengurus zaman ini yang tidak dapat menerima tempoh pembinaan selama mana yang diterima oleh Fergie.

Malam ini Sir Alex Ferguson akan memimpin barisan Syaitan Merah ke gelanggang lawan untuk menempuhi perlawanan liga ke-1000 bersama Manchester United. Satu rekod luar biasa dari seorang pengurus yang luar biasa. Southampton akan melihat keampuhan taktik Fergie terlalu mantap untuk diatasi. Robin van Persie dan Shinji Kagawa akan menghadiahkan mimpi indah buat Alex Ferguson. Dan juga aku, sebagai kipas-susah-mati United. Glory glory Manchester United. Tahniah Sir Alex Ferguson!











p palang s : Aku mesti tengok...


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif