Assalamualaikum.
Selepas aksi Kumpulan A-D bermula awal pagi semalam, pertarungan memburu kemasyhuran dalam Kumpulan E-H diteruskan awal pagi tadi. Baki gergasi Eropah yang tinggal memulakan aksi peringkat kumpulan dengan nasib berbeza. Beberapa gol cantik dijaringkan dan beberapa sepakan penalti gagal disudahkan. Rebiu kerancakan aksi awal pagi tadi menyusul selepas mukadimah ini.
KUMPULAN E
Di Stamford Bridge, Chelsea (England) terikat 2-2 dengan Juventus (Itali) walaupun mendahului 2-0. Pemain baru Chelsea, Oscar, dari Brazil meledak dua gol termasuk gol kedua yang sangat cantik untuk meletakkan tuan rumah di depan dengan defisit dua gol. Malangnya, kehilangan konsentrasi pada pengujung kedua-dua babak membenarkan Arturo Vidal dan Fabio Quagliarella menceriakan pasukan pelawat untuk pulang dengan satu mata.
Di Donbass Arena, tuan rumah melakukan 20 percubaan berbalas 3 walaupun hanya menguasai hampir 40% permainan. FC Shakhtar Donetsk (Ukraine) menang 2-0 ke atas FC Nordsjælland (Denmark). Wira Shakhtar malam tadi ialah Henrik Mkhitaryan yang menjaringkan kedua-dua gol. Mkhitaryan melakukan dua penyudah tenang dan tajam untuk menghampakan pasukan pelawat. Penjaga gol Nordsjælland, Jesper Hansen, terpaksa bekerja keras untuk mengelak daripada dibolosi lebih banyak gol. Ini bukan debut yang diimpikan oleh kelab Denmark yang membuat kemunculan pertama dalam kejohanan ini.
Shakhtar kini bertakhta di hadapan Chelsea dan Juventus.
KUMPULAN F
Di Grand Stade Lille Métropole, satu lagi tuan rumah tumbang. Lille OSC (Perancis) menguasai 54% permainan dan melakukan 24 percubaan ke arah gawang berbanding 6 untuk FC BATE Borisov (Belarus) tetapi tetap tewas 1-3 kepada pasukan pelawat. Aleksandr Volodko, Vitali Rodionov, dan Edgar Olekhnovich meletakkan Borisov selesa mendahului 3-0 pada separuh masa pertama. Gol saguhati tuan rumah dijaringkan oleh Aurélien Chedjou pada separuh masa kedua.
Di Fußball Arena München, FC Bayern Munich (Jerman) hanya mampu menang tipis 2-1 menentang Valencia CF (Sepanyol) walaupun sangat dominan dengan 74% penguasaan bola dan melakukan 17 percubaan ke arah gol berbalas 4. Gol-gol Bayern dijaringkan oleh Bastian Schweinsteiger dan Toni Kroos di setiap babak. Gol Valencia pula disumbat oleh Nelson Valdez dalam masa kecederaan untuk memberikan penamat dramatik. Adil Rami masih sempat dibuang padang kerana mengasari Arjen Robben di dalam kotak penalti dan Mario Mandžukić gagal menyempurnakan sepakan penalti tersebut.
Bayern dan Borisov berkongsi tiga mata sebagai pendahulu kumpulan tetapi Borisov memiliki kelebihan jaringan.
KUMPULAN G
Di Celtic Park, tuan rumah, Celtic FC (Scotland), seri tanpa jaringan dengan SL Benfica (Portugal). Celtic menguasai 52% bola tetapi Benfica memiliki lebih banyak serangan. Pemain tengah Celtic, Kris Commons beraksi hebat di tengah padang untuk menjadi pemain terbaik perlawanan. Kegagalan untuk meruntuhkan tembok pertahanan lawan membuatkan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati untuk berkongsi satu mata.
Di Camp Nou, FC Barcelona (Sepanyol) dominan seperti biasa dengan menguasai 65% permainan dan melakukan 18 percubaan ke arah gol berbalas 5. Barca menewaskan FC Spartak Moscow (Rusia) 3-2. Tello menjaringkan gol pendahuluan Barca dari luar kotak penalti. Spartak Moscow bangkit untuk mendahului 2-1 menerusi gol sendiri oleh pertahanan Barca, Daniel Alves, dan penyudah tenang Romulo. Namun, bintang Barca, Lionel Messi, menjadi wira apabila gagal disekat untuk menjaringkan dua gol lewat.
Barcelona kini mendahului Kumpulan C dan dijangka tidak berdepan masalah untuk menjadi juara kumpulan.
KUMPULAN H
Di Old Trafford, tuan rumah, Manchester United FC (England) menewaskan Galatasaray AŞ (Turki) 1-0 dalam perlawanan yang sengit dan seimbang. Michael Carrick menjaringkan gol tunggal perlawanan di awal permainan. Dua percubaan pemain Galatasaray terkena palang. Nani gagal menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan United dalam kedudukan selesa. David De Gea pula mempamerkan aksi menyelamat berkelas dunia untuk menafikan gol penyamaan pasukan pelawat.
Di Estádio Municipal de Braga, tuan rumah mendominasi 65% penguasaan bola, melakukan 35 percubaan ke arah gol dengan 23 percubaan tepat, tetapi gagal menjaringkan gol ketika pemain pasukan pelawat menyempurnakan dua daripada empat percubaan tepat yang dihasilkan. SC Braga (Portugal) tumbang 0-2 kepada CFR 1907 Cluj (Romania). Tambah menarik, kedua-dua gol Cluj disumbat oleh bekas pemain Braga sendiri, Rafael Bastos. Penjaga gol Cluj, Mário Felgueiras, beraksi cemerlang untuk mengelakkan gawang pasukan pelawat daripada dibolosi.
Cluj berkongsi takhta kumpulan H dengan Manchester United tetapi Cluj memiliki kelebihan jaringan.
Barcelona diterajui Lionel Messi berjaya mencatat kemenangan. begitu juga Manchester United dan Bayern Munich yang menang tipis dengan masing-masing gagal menyempurnakan satu sepakan penalti. Chelsea mendahului 2-0 tapi diikat Juventus. CFR Cluj dan BATE Borisov berjaya menang hasil ketajaman jentera serangan walaupun tidak menguasai bola. Peringkat kumpulan akan diteruskan awal bulan depan.
p sepak s : Kecewa dengan United..
No comments:
Post a Comment